OLEH: MOHD EZLI MASHUT
INI KISAH KAMI. Rakyat MARHAEN. Kisah Orang Kampung. Melawan salah, tak lawan lagilah salah. Kami bukan anti pembangunan dan projek. Kami hanya mahukan sedikit pembelaan dan perhatian.
TERBURUK dalam sejarah lebih 50 tahun. Itu gambaran banjir lumpur tanah merah yang melanda kampung kami di Kampong Harmoni Batu 28 Ijok di DUN Ijok Parlimen Kuala Selangor pada 18 April 2017 lalu.
Dalam kejadian itu, seramai 16 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan selepas banjir melanda kawasan itu. Banyak barangan rosak serta tidak dapat diselamatkan. Malahan sebenarnya ramai keluarga tidak berpindah bimbangkan faktor keselamatan rumah serta perkara lain.
Air banjir kali ini bukan seperti selalu sebelum ini. Berkelodak dan berlumpur berwarna merah. Pelik. Selalu air banjir tidak merah seperti ini. Dari mana datangnya air merah ini?. Penerokaan kawasan bukit untuk pembangunan? kenapa kami Orang Kampung jadi mangsa?
Penulis yang mengalami detik cemas bencana alam itu sendiri merasakan banjir yang berlaku terburuk setakat ini boleh dikurangkan jika perancangan pembangunan sekeliling diurus rapi serta memastikan sistem saliran dalam keadaan terbaik mengelakkan bencana berulang.
Kejadian banjir lumpur kali ini teruk kerana selepas banjir berakhir kesan lumpur meninggalkan kawasan dalam rumah serta sekeliling seumpama berada di 'Planet Marikh' yang selama ini tidak pernah dialami penduduk.
Rasanya sejak dari kecil, ini bukan kali pertama banjir berlaku di kawasan ini, entah berapa kali berlaku sejak sekian lama apabila limpahan air dari kawasan tinggi berlaku menyebabkan kawasan rendah di kampung ini digenangi air.
Ia bukan sekadar banjir kilat. Kadang-kadang ia mengambil lebih seminggu untuk air surut sepenuhnya di kawasan digenangi air. Puncanya adalah sistem saliran yang tidak sistematik dan tidak boleh berfungsi baik jika berlaku hujan lebat 'luar biasa'.
Memburukkan keadaan kadang-kadang kawasan kebun kelapa sawit digenangi air lebih seminggu sehingga menyukarkan pekebun kecil untuk memetik buah
Apa pihak berkuasa dan agensi bertanggungjawab buat? sudah laksanakan tugas dan pemantauan? Apakah tiada pampasan dan ganti rugi diberikan kepada mangsa terlibat?
Kisah dan cerita ini mungkin berita kecil kepada media. Yelah...CNN, BBC, AL-JAZEERA tak ambil tahu pun...Media Malaysia lagilah tak kisah... takde siapa kisah dan peduli nasib penduduk bencana alam yang bakal menimpa kelak di masa hadapan. Ia bagaikan bom jangka. Hujan luar biasa kampung kami jadi mangsa.
Apa yang kami kisahkan adalah projek pembangunan di sekeliling kampung kami yang menjadi ancaman. Ke mana air dilepaskan jika hujan luar biasa? Kampung Kami jadi mangsa. Siapa pemaju? siapa beri kelulusan? siapa merancang projek pembangunan? itu kami tak tahu.
Apalah sangat kami ini, bagaikan mentimun. Melanggar pun sakit, kena langgar lagilah sakit.
Ini kisah kami hadapi. Bukan kisah politik dan tular. Kisah penduduk menuntut pembelaan ada di mana-mana. Mungkin kisah sama penduduk berhadapan pemaju, kerajaan ada di Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak. Jika kami penduduk tak bersuara, maka kami terus jadi mangsa.
Jika kisah ini tular di media sosial dengan 100,000 share. Mungkin baru ada pihak buka mata agaknya.
ANTARA PUNCA BANJIR
Projek Pelebaran Jalan Persekutuan FT54 antara punca banjir kali ini semakin buruk. Parit sedia ada dikecilkan sehingga suku menyebabkan aliran air di kawasan Kampong Harmoni terjejas teruk.
Pihak berkuasa seperi Jabatan Kerja Raja (JKR), Jabatan Parit Saliran dan Tali Air (JPS) serta pihak kontraktor pembinaan jalan perlu memberikan penjelasan kenapa banjir kali ini semakin teruk berbanding kejadian lepas.
Penduduk juga mempersoalkan kaedah operasi standard (SOP) digunakan serta pemantauan pihak berkuasa apabila saliran parit ditimbus sehingga suku sebelum memperbaiki saliran sedia ada sedangkan kawasan itu adalah hotspot banjir walaupun hujan berlaku dalam tempoh tidak lama.
Malahan penduduk mengemukakan persoalan bagaimana banjir lumpur semakin kerap berlaku di kawasan ini, apakah wujud projek di kawasan kampung ini yang tidak mematuhi piawaian alam sekitar yang menyebabkan aliran air lumpur semakin deras menuju kawasan kampung.
Penduduk mahu Ahli Dewan Negeri (ADN) dan Ahli Parlimen proaktif menjadi jurubicara rakyat dan mencari jalan segera menyelesaikan masalah penduduk yang sekian lama 'menderita' dengan bencana alam yang boleh diuruskan baik jika ada perancangan dan pelaksanaan pelan tindakan.
Kita tidak mahu bencana alam banjir lumpur lebih buruk berlaku di masa hadapan ekoran pembangunan semakin rancak yang berlaku di sekeliling. Agensi Kerajaan berkait alam sekitar perlu memantau dan tegas jika ada pelanggaran peraturan dan undang-undang alam sekitar berlaku.
Kurangnya pokok dan tumbuhan untuk menyerap air hujan menjadi salah satu faktor berlakunya banjir semakin teruk akibat kerakusan projek pembangunan di kawasan sekeliling.
SESUATU PERLU DILAKUKAN SEGERA
Kejadian banjir kilat dan lumpur bukan sahaja semakin kerap berlaku di kawasan ini malahan di negara ini. Aspek perancangan pembangunan masa hadapan perlu mengambil kira faktor cuaca luar biasa bagi mengurangkan impak bencana alam.
Agensi kerajaan dan swasta juga perlu memainkan peranan proaktif dan tidak bersikap 'bangau oh bangau' menuding jari pihak lain jika berlaku sebarang kejadian bencana alam yang sebenarnya boleh dikurangkan kesannya atau dielakkan langsung.
Pemeliharaan alam dan hutan serta penjagaan dan penyelenggaran saliran, parit dan sungai perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Jika dahulu sungai mampu mengalirkan sejumlah air yang banyak dalam sesuatu masa,kini pengaliran telah berkurangan.
Ini disebabkan proses pemendapan dan pembuangan bahan-bahan buangan. Kerajaan perlu menjalankan proses pendalaman sungai dengan mengorek semua lumpur dan kekotoran yang menyekat arus air.
Proses pembangunan perlu seimbang dan mesra alam bagi mengelakkan kejadian banjir kilat dan lumpur. Sistem dan SOP pengurusan banjir juga perlu dikemaskini dari semasa ke semasa supaya lebih praktikal bukan sahaja mencegah banjir berlaku malahan membantu mangsa pasca banjir.
Pembentukan pasukan khas atur cepat yang dilengkapi jentera dan peralatan mencukupi perlu dipersiapkan setiap masa yang boleh bertindak pantas digerakkan di kawasan terjejas tanpa dipengaruhi karenah biokrasi dan perbezaan fahaman politik.
HAPUSKAN RASUAH, SALAH GUNA KUASA
Kemungkinan bencana banjir buruk berlaku di negara ini berulang adalah sangat tinggi jika tiada sebarang tindakan susulan diambil.
Sebelum ini, Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid pernah berkata di media usaha memerangi rasuah juga harus menjadi agenda utama bagi mengelakkan eksploitasi alam sekitar.
Katanya rasuah menyebabkan alam sekitar terdedah kepada salah guna kuasa yang boleh memburukkan lagi kerosakan alam.
"Masalah utama bukan kerana tidak ada polisi dan peraturan, sebaliknya isu paling besar ialah kelemahan perlaksanaan dan pengawalan,” katanya.
Pihak berkuasa dan pemaju juga pula perlu lebih bertanggungjawab terhadap pembangunan yang hendak diadakan.
Jangan terlalu memikirkan wang semata-mata. Perancangan awal yang lebih teratur amat diperlukan bagi mengelakkan bencana buatan manusia memangsakan manusia lain menjadi lebih parah.
* MOHD EZLI MASHUT merupakan salah seorang mangsa kejadian banjir lumpur Kampong Harmoni, Ijok.