Pengambilan Moratorium Tingkatkan Kos Pinjaman : BNM

    Sumber Grafik: Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman seperti moratorium bakal menyebabkan kos pinjaman meningkat secara keseluruhan kerana faedah atau keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.

BH ONLINE pada 6 Julai 2021/Selasa melaporkan sehubungan itu, bank pusat berkata, institusi perbankan dikehendaki memberikan penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan.

"Apabila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran ansuran yang lebih rendah (dan bukan mengekalkan bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal ini boleh menyebabkan tempoh pinjaman mereka menjadi lebih panjang.

"Bank tidak akan mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan (iaitu faedah/keuntungan terkompaun) atau apa-apa faedah/keuntungan penalti sepanjang tempoh bantuan," kata BNM dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BNM menegaskan, Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam juga tidak akan terjejas akibat penerimaan apa-apa bentuk bantuan bayaran balik pinjaman pada tahun 2021.

Katanya, industri perbankan telah memberikan komitmen dan keyakinan untuk membantu peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan disebabkan oleh sekatan pergerakan.

"Dalam hal ini, BNM akan memantau rapi pelaksanaan program bantuan bayaran balik pinjaman oleh industri perbankan.

"Jika peminjam menghadapi apa-apa kesukaran dengan bank mereka, atau jika bayaran ansuran meningkat secara tidak munasabah, peminjam boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnm.my/RAsurvey untuk mengemukakan aduan mereka.

"Peminjam juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang program bantuan bayaran balik pinjaman ini dengan melayari bnm.gov.my/RA dan platform media sosial BNM," katanya.

Menurut BNM, peminjam individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan mikro yang terjejas akibat COVID-19 boleh mula memohon moratorium selama enam bulan mulai esok.

Katanya, selaras dengan pengumuman tentang Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), sama ada individu, perusahaan mikro ataupun PKS - tidak perlu bimbang kerana permohonan untuk mendapatkan moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah dan dokumen sokongan tidak diperlukan.

"Kelulusan akan diberikan secara automatik. Selain moratorium, bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam.

"Peminjam boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui borang web atau e-mel automatik yang akan tersedia menerusi laman web bank untuk peminjam mengemukakan butiran peribadi dan pembiayaan mereka.

"Peminjam juga boleh menghubungi bank mereka melalui telefon dan panduan akan diberikan oleh pegawai khidmat pelanggan. Jika peminjam tidak dapat menggunakan saluran digital ini, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk menghantar permohonan moratorium," katanya.

Bank pusat menasihati peminjam supaya mendapatkan maklumat tentang sebarang perubahan waktu operasi atau aturan perkhidmatan kaunter daripada bank masing-masing berikutan sekatan pergerakan.

"Bantuan bayaran balik pinjaman ini ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021.

"Pada masa permohonan dibuat , peminjam tidak mempunyai ansuran tertunggak melebihi 90 hari atau berhadapan dengan prosiding bankrap/penggulungan (bankruptcy/winding up).

"Peminjam yang sudah pun berada dalam program bantuan bayaran balik pinjaman dan membayar balik pembiayaan mereka mengikut terma program terbabit juga boleh memohon moratorium ini," katanya.

Selain itu, BNM berkata, peminjam individu dan PKS yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman melebihi 90 hari dinasihati supaya menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman yang sesuai dan khidmat nasihat kewangan secara percuma (services.akpk.org.my).

"PKS termasuk perusahaan mikro juga boleh memohon bantuan melalui saluran khas SME Help Desk AKPK melalui akpk.org.my/smehelpdesk.

"Kaunter khidmat nasihat secara maya ini memberikan khidmat nasihat kewangan secara percuma dan membantu pemohon mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman," katanya.

Sumber: BH ONLINE


Berikut adalah kenyataan penuh Bank Negara Malaysia


Moratorium selama enam bulan untuk semua individu dan perusahaan mikro serta PKS yang terjejas mulai 7 Julai 2021

06 Jul 2021

Selaras dengan pengumuman tentang Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), peminjam individu dan perusahaan mikro serta PKS yang terjejas akibat pandemik, boleh mula memohon moratorium selama enam bulan mulai 7 Julai 2021. 

Dalam hal ini, peminjam - sama ada individu, perusahaan mikro ataupun PKS - tidak perlu bimbang kerana permohonan untuk mendapatkan moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah dan dokumen sokongan tidak diperlukan. Kelulusan akan diberikan secara automatik.

Selain moratorium, bank-bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej-pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam.

Peminjam boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui borang web atau e-mel automatik yang akan tersedia menerusi laman sesawang bank-bank untuk peminjam mengemukakan butiran peribadi dan pembiayaan mereka. 

Peminjam juga boleh menghubungi bank mereka melalui telefon dan panduan akan diberikan oleh pegawai khidmat pelanggan. Jika peminjam tidak dapat menggunakan saluran digital ini, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk menghantar permohonan moratorium. 

Walau bagaimanapun, peminjam dinasihati supaya mendapatkan maklumat tentang sebarang perubahan waktu operasi atau aturan perkhidmatan kaunter daripada bank masing-masing berikutan sekatan pergerakan.

Bantuan bayaran balik pinjaman ini ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021. Pada masa permohonan dibuat , peminjam tidak mempunyai ansuran tertunggak melebihi 90 hari atau berhadapan dengan prosiding bankrap/penggulungan (bankruptcy/winding up).

 Peminjam yang sudahpun berada dalam program bantuan bayaran balik pinjaman dan membayar balik pembiayaan mereka mengikut terma program tersebut juga boleh memohon moratorium ini. 

Peminjam individu dan PKS yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman melebihi 90 hari dinasihati supaya menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman yang sesuai dan khidmat nasihat kewangan secara percuma (services.akpk.org.my). 

PKS termasuk perusahaan mikro juga boleh memohon bantuan melalui saluran khas SME Help Desk AKPK melalui akpk.org.my/smehelpdesk. Kaunter khidmat nasihat secara maya ini memberikan khidmat nasihat kewangan secara percuma dan membantu pemohon mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman.

Peminjam perlu memahami bahawa dengan mengambil bantuan bayaran balik pinjaman, kos pinjaman akan meningkat secara keseluruhan kerana faedah/keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh. Bank-bank dikehendaki memberikan penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan. 

Apabila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran ansuran yang lebih rendah (dan bukan mengekalkan bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal ini boleh menyebabkan tempoh pinjaman mereka menjadi lebih panjang. 

Bank tidak akan mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan (iaitu faedah/keuntungan terkompaun) atau apa-apa faedah/keuntungan penalti sepanjang tempoh bantuan.

Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (Central Credit Reference Information System, CCRIS) peminjam tidak akan terjejas akibat penerimaan apa-apa bentuk bantuan bayaran balik pinjaman pada tahun 2021.

Industri perbankan telah memberikan komitmen dan keyakinan untuk membantu peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan disebabkan oleh sekatan pergerakan. Dalam hal ini, BNM akan memantau dengan rapi pelaksanaan program bantuan bayaran balik pinjaman oleh industri perbankan.

 Jika peminjam menghadapi apa-apa kesukaran dengan bank-bank mereka, atau jika bayaran ansuran meningkat secara tidak munasabah, peminjam boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnm.my/RAsurvey untuk mengemukakan aduan mereka. 

Peminjam juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang program bantuan bayaran balik pinjaman ini dengan melayari bnm.gov.my/RA dan platform media sosial BNM.

Bank Negara Malaysia

06 Jul 2021










 Sumber Grafik: Bank Negara Malaysia


Pesawat Penumpang Russia bawa 29 Penumpang Terputus Hubungan


   Foto Sumber: Wikipedia


MOSCOW: Pesawat penumpang An-26 yang membawa 29 penumpang termasuk kru dilaporkan terputus hubungan di kawasan Semenanjung Timur Jauh Russia, Kamchatka, hari ini.

AFP melaporkan Jurucakap pejabat pendakwa pengangkutan tempatan, Valentina Glazova, berkata pesawat itu gagal mendarat ketika berlepas dari bandar utama Kamchatka, Petropavlovsk-Kamchatsky ke Palana.

"Usaha mencari dan menyelamat sedang dilakukan. Apa yang diketahui setakat ini adalah komunikasi dengan pesawat terganggu dan ia tidak mendarat," katanya.

Pesawat yang dikendalikan oleh sebuah syarikat penerbangan tempatan di Kamchatka, iaitu semenanjung yang luas di Timur Jauh Russia di Lautan Pasifik, membawa 23 penumpang dan enam kru.

Agensi berita Russia memetik pegawai tempatan berkata, ada 28 orang di dalamnya, termasuk enam anak kapal dan satu atau dua kanak-kanak di dalamnya.

Terdapat laporan bertentangan mengenai kejadian apabila satu sumber memberitahu agensi berita TASS bahawa pesawat itu mungkin terhempas ke laut, manakala laporan lain menyatakan kepada Interfax bahawa ia mungkin jatuh berhampiran sebuah lombong arang batu dekat Palana.

Pencarian sedang dilakukan membabitkan sekurang-kurangnya dua helikopter dan pekerja penyelamat sedang bersedia.

Russia yang terkenal dengan kemalangan pesawat telah meningkatkan rekod keselamatan lalu lintas udara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun, penyelenggaraan pesawat dan standard keselamatan yang masih lemah menyaksikan beberapa kemalangan udara hingga mengundang maut dalam beberapa tahun lalu.

Penerbangan di Russia berbahaya terutama di wilayah terpencil di negara yang luas dengan keadaan cuaca yang sukar seperti Artik dan Timur Jauh. 

Sumber: AFP/ 6 Julai 2021


TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...