MOSCOW: Pesawat penumpang An-26 yang membawa 29 penumpang termasuk kru dilaporkan terputus hubungan di kawasan Semenanjung Timur Jauh Russia, Kamchatka, hari ini.
AFP melaporkan Jurucakap pejabat pendakwa pengangkutan tempatan, Valentina Glazova, berkata pesawat itu gagal mendarat ketika berlepas dari bandar utama Kamchatka, Petropavlovsk-Kamchatsky ke Palana.
"Usaha mencari dan menyelamat sedang dilakukan. Apa yang diketahui setakat ini adalah komunikasi dengan pesawat terganggu dan ia tidak mendarat," katanya.
Pesawat yang dikendalikan oleh sebuah syarikat penerbangan tempatan di Kamchatka, iaitu semenanjung yang luas di Timur Jauh Russia di Lautan Pasifik, membawa 23 penumpang dan enam kru.
Agensi berita Russia memetik pegawai tempatan berkata, ada 28 orang di dalamnya, termasuk enam anak kapal dan satu atau dua kanak-kanak di dalamnya.
Terdapat laporan bertentangan mengenai kejadian apabila satu sumber memberitahu agensi berita TASS bahawa pesawat itu mungkin terhempas ke laut, manakala laporan lain menyatakan kepada Interfax bahawa ia mungkin jatuh berhampiran sebuah lombong arang batu dekat Palana.
Pencarian sedang dilakukan membabitkan sekurang-kurangnya dua helikopter dan pekerja penyelamat sedang bersedia.
Russia yang terkenal dengan kemalangan pesawat telah meningkatkan rekod keselamatan lalu lintas udara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun, penyelenggaraan pesawat dan standard keselamatan yang masih lemah menyaksikan beberapa kemalangan udara hingga mengundang maut dalam beberapa tahun lalu.
Penerbangan di Russia berbahaya terutama di wilayah terpencil di negara yang luas dengan keadaan cuaca yang sukar seperti Artik dan Timur Jauh.
Sumber: AFP/ 6 Julai 2021