COVID-19: 330 Juta Penduduk Amerika Dinasihatkan Pakai Topeng Muka



WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam menasihati semua penduduknya agar memakai topeng muka di tempat awam bagi melindungi diri daripada dijangkiti COVID-19 yang dikhuatiri boleh tersebar melalui pernafasan normal.

Cadangan itu seiring rekod baharu angka korban dalam sehari akibat virus berkenaan di AS membabitkan 1,480 kematian, iaitu tertinggi berbanding mana-mana negara lain sejak pandemik berkenaan tercetus, malah ia mengatasi bilangan 1,169 kes sama pada hari sebelumnya di negara ini.

Presiden Donald Trump berkata, saranan kepada seluruh 330 juta penduduk AS supaya memakai topeng muka bukan perubatan di tempat seperti kedai runcit, akan berterusan untuk ‘suatu tempoh masa tertentu’.

“Ia adalah secara sukarela. Anda tidak perlu berbuat sedemikian dan saya memilih untuk tidak melakukannya.

“Namun, sesetengah orang mungkin mahu melakukannya dan itu tidak mengapa,” katanya kepada pemberita.

Ketua Pakar Bedah AS, Jerome Adams, menjelaskan cadangan itu timbul berikutan ramai orang yang positif COVID-19 tidak menunjukkan simptom, namun memberi amaran bahawa amalan penjarakan sosial masih penting.

Pengumuman itu dibuat selepas Anthony Fauci yang mengetuai tindak balas saintifik kerajaan, menyokong penemuan baru-baru ini bahawa virus berkenaan boleh terkandung dalam wap ultrahalus yang terbentuk apabila manusia menghembuskan nafas.

Hasil penyelidikan mendapati ‘virus itu sebenarnya boleh tersebar, malah ketika orang sekadar bercakap,” kata Fauci dalam Fox News.

Akademi Sains Kebangsaan menghantar sepucuk surat ke Rumah Putih, 1 April lalu, merumuskan penyelidikan baru-baru ini berhubung perkara itu dengan menyatakan bahawa ia masih belum konklusif, namun ‘hasil berkenaan... konsisten dengan aerosolisasi virus daripada pernafasan normal’.

Sejak virus itu mula dikenal pasti di China, akhir Disember tahun lalu, pakar kesihatan memaklumkan bahawa penyebaran utamanya ialah melalui batuk dan bersin.

Cadangan itu bagaimanapun dilihat memburukkan lagi masalah kekurangan topeng muka yang sedang kritikal di AS dan Eropah di mana kedua-dua negara terbabit begitu bergantung pada import dari China.

Trump menggesa penduduk AS untuk ‘sekadar menghasilkan sesuatu’ atau menggunakan skarf untuk tujuan itu, sekali gus menjimatkan topeng muka klinikal untuk kegunaan petugas kesihatan dan pesakit.

Penularan wabak COVID-19 sudah meragut lebih 57,000 nyawa di seluruh dunia, setakat ini.

Eropah telah mencatatkan 40,000 kematian, dengan Sepanyol melaporkan lebih 900 korban dalam tempoh 24 jam lalu. 

SUMBER: AFP/ 4 APRIL 2020

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...