28 Pesawat China 'Ceroboh' Ruang Udara Taiwan, Jumlah Terbesar, Apa Persediaan Malaysia Pula?

      Tangkap layar jenis pesawat China yang 'menceroboh' ruang udara Taiwan


DISUSUN OLEH: MOHD EZLI MASHUT

Penganalisis Isu Antarabangsa


GLOBAL | Tindakan China menceroboh ruang udara dan laut di luar batas sempadannya semakin meningkat mutakhir ini, dalam kes terbaharu sebanyak 28 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) terbang di dalam Zon Identifikasi Pertahanan Udara (ADIZ) Taiwan pada 15 Jun 2021/Selasa.

Pencerobohan disahkan berlaku oleh Taiwan melalui satu kenyataan daripada Tentera Udara Taiwan (Republic of China Air Force, ROCAF) bahawa kesemua pesawat milik PLAAF terbang memasuki kawasan barat dan barat daya ADIZ.

Kata kenyataan itu, amaran diberikan kepada pesawat PLAAF melalui radio dan sistem pertahanan udara diaktifkan bagi memerhati gerak-geri pesawat China.

“Jet pejuang turut dihantar untuk memintas pesawat penceroboh," kata kenyataan itu.

ROCAF berkata antara yang pesawat yang dikenal pasti memasuki ADIZ adalah dua buah pesawat Y-8 yang terdiri daripada varian anti kapal selam (ASW) dan peperangan elektronik (EW).

Turut dikesan adalah dua buah pesawat sistem kawalan dan amaran udara (AEWC) KJ-500, empat pesawat pengebom H-6, 14 jet pejuang J-16 dan enam jet pejuang J-11.

Katanya, kesemua penerbangan tersebut dilakukan di laluan penerbangan yang berasingan. 

    Sumber: Taiwan

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS pada 15 Jun 2021 melaporkan setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Kerajaan China dalam kejadian terbaharu itu dan tiada komen diberikan terhadap isu itu.

Siri pencerobohon  pesawat China itu adalah yang terbesar sejak Kerajaan Taiwan mulai kerap melaporkan kegiatan Tentera Udara China di Adiz Taiwan tahun lalu, memecahkan rekod sebelumnya 25 pesawat yang dilaporkan pada 12 April 2021.

                     Sumber: Fail

China pada masa lalu menyifatkan misi seperti itu diperlukan untuk melindungi kedaulatan negara dan menangani "pertikaian" antara Taipei dan Washington.

Amerika Syarikat (AS), yang seperti kebanyakan negara tidak memiliki hubungan diplomatik formal dengan Taiwan, telah menyaksikan dengan tegasnya ketegangan yang meningkat dengan Beijing.

China menggambarkan Taiwan sebagai isu wilayahnya yang paling sensitif dan garis merah AS tidak boleh dilintasi. Ia tidak pernah melepaskan kemungkinan penggunaan kekuatan untuk memastikan penyatuan akhirnya.


Kapal Pemusnah Baharu China Ronda Laut China Selatan

Sementara itu dalam laporan isu berlainan sebuah lagi kapal pemusnah peluru berpandu jenis 052D China, Nanning, mula digunakan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) di Laut China Selatan.

Global Times melaporkan, kapal berkenaan dilihat menyertai latihan ketenteraan di perairan Asia Tenggara, yang juga kemunculan pertamanya di rantau ini.

Kapal berkenaan digandingkan dengan kapal perang pemusnah angkatan laut di bawah Pemerintah Pentas Selatan PLA dalam latihan pertempuran realistik empat hari di Laut China Selatan.

    Foto Sumber: US Naval Institute

Menurut laman sesawang PLA, eng.chinamil.com.cn, latihan merangkumi taktik mengemudi kapal termasuk penerimaan bekalan di laut.

Selain Nanning, yang juga digelar Hull 162, imej disiarkan media tempatan menunjukkan latihan turut disertai kapal bekalan komprehensif jenis 901 (Hull 967), kapal pendaratan dermaga amfibia Qilianshan jenis 071 (Hull 985).

Menurut pemerhati, ini adalah kali pertama Nanning terbabit dalam latihan rasmi, sekali gus menunjukkan kapal perang itu sudah memulakan tugas dengan Pemerintah Pentas Tentera Laut PLA.

Berdasarkan imej berkenaan, Nanning adalah variasi yang ditambah baik dengan dek helikopter lebih luas dan dilengkapi radar.

Pakar ketenteraan China yang enggan dikenali memberitahu Global Times bahawa penyertaan Nanning dalam latihan di perairan Laut China Selatan, memberi kelebihan dari segi kemampuan pertempuran pantas.

Tindakan mengekalkan Nanning berpangkalan di Laut China Selatan bagi menjaga integriti wilayah, kedaulatan dan pembangunan kepentingan, turut membangkitkan persoalan mengenai motif sebenar China. 


Apa Persediaan Diperlukan Malaysia & TUDM?

Menyedari cabaran keselamatan dan kesiapsiagaan perlu diutamakan Malaysia khususnya bagi menangani pencerobohan udara dan laut yang berkemungkinan semakin meningkat di masa hadapan.

Kemampuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada masa ini tidak mencukupi sekiranya China dan negara-negara asing lain mempertingkatkan kekerapan operasi (pencerobohan ruang udara Malaysia) atau  pembabitan pesawat pejuang lebih moden, banyak dan berbahaya.

Pemilihan MIG-35 sebagai pesawat TUDM boleh memberikan kelebihan taktikal dan strategik kepada Malaysia dalam geopolitik antarabangsa khususnya apabila berhadapan isu di Laut China Selatan dan pencerobohan asing.

    Foto Sumber: Russian Aircraft Corporation

'Top Speed' pesawat ini adalah 2,100 km/j dengan jarak lingkungan pertempuran kira-kira 2,000 km menjadikan pesawat ini mempunyai kelebihan tersendiri dalam pelbagai tugas dan misi tersendiri.

MiG-35 serba baharu itu dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) iaitu Phazontron-NIIR Zhuk-A/AM menyerupai sistem yang dipasang pada Jet Pejuang Generasi ke-5.

Prestasi Sistem Radar Phazotron Zhuk-A/AE AESA mampu mengesan sasaran sejauh 160km dengan lebih 30 sasaran dalam sesuatu masa merupakan satu kelebihan taktikal dalam menghadapi pertempuran pelbagai dimensi.

Keupayaan MIG-35 juga mampu menyerang dan melancar peluru berpandu sebanyak enam sasaran udara dan empat sasaran darat serta mampu menangkis serangan siber dan elektronik.

Secara tidak langsung juga Malaysia boleh menggunakan minyak sawit sebagai pertukaran serta memastikan harga di pasaran pada tahap terbaik untuk ekonomi.

Dengan mempelajari teknologi MIG-35 juga, Malaysia boleh memikirkan untuk terus belajar dan membangunkan bersama-sama dengan mana-mana syarikat global dalam pembangunan jet pejuang generasi kelima dan keenam.

Strategi ini juga boleh memberikan tekanan kepada syarikat senjata daripada blok barat untuk menawarkan persenjataan dan menerima minyak sawit Malaysia.

    Foto Sumber: Caspian News

Boleh juga diambil perkiraan adalah untuk mendapatkan senjata pertahanan udara S-400 atau S-500 keluaran Rusia seperti dimiliki Turki untuk diletakkan di kawasan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak bagi menjaga jangkauan lebih jauh daripada sebarang pencerobohan udara di Laut China Selatan.

Apa pun perancangan meningkatkan pertahanan perlu diadakan kini demi masa hadapan lebih terjamin.


SUMBER: 1. AGENSI/15 JUN 2021

        2. REUTERS/ 15 JUN 2021




450,000 Permohonan Haji Dalam Tempoh 24 Jam

    Foto Sumber: Haramain Sharifain

GLOBAL | HAJI | Sebanyak 450,000 permohonan haji diterima dalam tempoh 24 jam menerusi sebuah portal haji domestik, kata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Agensi Berita Arab News melaporkan Kementerian itu berkata, permohonan untuk lelaki adalah berjumlah 60 peratus manakala selebihnya adalah wanita.

Tahun ini, pendaftaran untuk mengerjakan haji dihadkan kepada 60,000 orang dan hanya membenarkan kepada rakyat negara itu dan pemastautin bagi mengekang pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Dr Abdulfattah Mashat, hanya mereka yang berusia 18 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk ke kota suci itu pada musim ini.

Mashat dalam temubual bersama Al-Ekhbariya TV berkata, ini kerana kanak-kanak bukan dalam kumpulan yang menerima vaksin sekali gus tidak dibenarkan memasuki kota suci itu.

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada mereka berusia 50 tahun ke atas yang tidak pernah menunaikan haji.

Antara individu yang sudah mendaftar ialah Pegawai Kanan Budaya di Bupa Arabia, Mohammed Gamlo, 25, sambil berkata, bilangan jemaah haji yang sedikit akan menyenangkan perjalanan ibadah berkenaan dan tidak mungkin berlaku lagi pada masa akan datang.

"Namun, saya tidak tahu sama ada terpilih atau tidak menunaikan haji bagi tahun ini. Apabila kementerian membuat pengumuman, saya berpendapat, saya perlu menjadi orang pertama yang mengerjakan haji.

"Setiap kali saya cuba untuk mengerjakan haji, ia tidak pernah terjadi," katanya yang memberitahu ia adalah kali pertama untuknya menunaikan haji.

Persiapan Kementerian Haji dan Umrah bagi pelaksanaan ibadah itu dijangka berlanjutan sehingga akhir minggu ini, bagi memastikan semua perkara mematuhi syarat dan standard kesihatan untuk menjaga kebajikan jemaah haji.

Pendaftaran haji itu perlu disempurnakan sebelum 23 Jun ini dan untuk menghalang pembatalan, satu pakej mesti dibeli dalam tempoh tiga jam pemilihan dilaksanakan. 

SUMBER: AGENSI/16 JUN 2021

   Sumber Grafik: TH

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...