Gelombang Panas Melampau Ledak Malapetaka Dahsyat, Kebakaran Besar Di Eropah

   Tangkap layar akhbar METRO


GLOBAL | Gelombang panas melampau yang melanda barat Eropah menyebabkan sebahagian benua itu semakin ‘layu’ di bawah sinaran matahari sehingga menyumbang kepada kebakaran besar-besaran dan mengakibatkan suhu lebih tinggi pada 19 Julai 2022/Selasa.


Agensi Berita Antarabangsa melaporkan di Britain, ramalan kaji cuaca berkata, rekod suhu semasa mencecah 39.7 darjah Celsius dan mungkin meningkat lebih tinggi sehingga 40 darjah Celsius buat kali pertama di negara tersebut.


Pada 18 Julai 2022/ Isnin, suhu mencecah 38.1 darjah Celsius direkodkan di Suffolk di timur England dan sekali gus menjadikan ia sebagai hari paling panas dalam tempoh setahun.


Suhu 39.3 darjah Celsius direkodkan di pantai Atlantik Brittany yang terletak di barat laut negara itu. Rekod sebelum ini hanya 35.1 darjah Celsius sejak tahun 2002.


Tidak ketinggalan Saint-Brieuc turut merekodkan suhu sehingga 39.5 darjah Celsius berbanding 38.1 darjah Celsius dan di bandar Nantes merekodkan suhu tertinggi sehingga 42 darjah Celsius yang mengatasi paras tertinggi selama beberapa dekad sejak tahun 1949.


Ketika ini, anggota bomba di barat daya Perancis masih bergelut dengan dua kebakaran besar-besaran sehingga memusnahkan kawasan yang luas.


Sejak seminggu lalu, anggota bomba dan dibantu pesawat pemadam api berusaha memadamkan kebakaran dan difahamkan hampir seluruh anggota dari Perancis dikerahkan ke kawasan terjejas.


Penyelidik Suruhanjaya Eropah berkata, hampir separuh atau 56 peratus wilayah Eropah terdedah kepada amaran kemarau peringkat tertinggi.


Manakala 11 peratus berada pada tahap berjaga-jaga dan tanaman dilaporkan mati akibat kekurangan air.


Kebakaran yang berlaku di Perancis, Greece, Portugal dan Sepanyol telah menyebabkan ribuan hektar musnah dan sekali gus mengaitkan kebimbangan mengenai krisis makanan global. 


Suhu UK Cecah 40 Darjah Celsius Buat Pertama Kali


LONDON: Gelombang haba yang teruk mencetus kebakaran hutan di Eropah barat, yang melonjakkan suhu di Britain hingga melebihi 40 darjah Celsius buat pertama kali semalam dan melepasi rekod suhu di beberapa kawasan lain.



Agensi Berita AFP pada 20 Julai 2022 melaporkan beberapa kebakaran kawasan terbuka berlaku di pinggir London, dengan satu daripadanya memaksa 14 penduduk dipindahkan berikutan kawasan ladang, kediaman dan garaj musnah dijilat api.


Selepas merekodkan suhu malam tertinggi, Jabatan Meteorologi United Kingdom (UK) memaklumkan merekodkan suhu 40.3 darjah Celsius di Coningsby di timur England, dan sekurang-kurangnya 34 lokasi di Britain melepasi 38.7 darjah Celsius yang dicatat di Cambridge pada 2019.


Beberapa pakar berpandangan peningkatan suhu itu berpunca daripada perubahan iklim, dan memberi amaran bahawa situasi lebih buruk akan berlaku.


Ketua Pertubuhan Meteorologi Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Petteri Taalas, berkata gelombang haba kini semakin kerap dan pola itu diramal berterusan sehingga 2060-an, bergantung pada kejayaan usaha menangani isu iklim itu.


"Pada masa depan, gelombang haba seperti ini akan menjadi suatu kebiasaan, dengan suhu ekstrim yang lebih tinggi," katanya.


Suhu tinggi itu mencetuskan beberapa amaran yang julung kali berlaku di England, dengan beberapa laluan kereta api ditutup sebagai langkah berjaga-jaga, manakala sekolah ditutup di beberapa kawasan.


    Tangkap layar akhbar The Guardian


Selain itu, operasi semua kereta api dari stesen King Cross di London dihentikan, menyebabkan ramai pengguna terkandas.


Dengan permukaan jalan raya dan laluan kereta api mencair dan kebimbangan kereta api tergelincir, Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps mengakui kebanyakan infrastruktur Britain tidak dibina untuk bertahan dengan suhu seumpamanya.


Di Perancis, 64 kawasan berbeza merekodkan suhu tertinggi Isnin lalu, dengan kebanyakannya terletak di sepanjang pantai barat Atlantik, dengan suhu mencecah melebihi 40 darjah Celsius.


Gelombang haba itu turut menyebabkan kebakaran hutan di Perancis, Greece, Portugal dan Sepanyol. 

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...