Foto Sumber: Tribunnews.com |
INFO TRAVEL & PENERBANGAN: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia pada 2 Ogos memperkenalkan laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Danau Toba, Indonesia yang akan bermula 28 Oktober ini.
Menerusi laluan baharu ini, AirAsia menawarkan kekerapan empat kali penerbangan pergi balik dalam seminggu antara KLIA2-Lapangan Terbang Silangit, Tapanuli, Sumatera Utara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.
Katanya, segmen laluan itu selari dalam meningkatkan industri pelancongan Danau Toba di rantau ini terutamanya para pelancong Malaysia dan global yang sering menuju ke lokasi tarikan pelancongan tersebut.
“Jika sebelum ini, para pengunjung yang ingin Danau Toba perlu menaiki bas dari Medan selama enam jam, tetapi dengan penerbangan dari KLIA2 ke pintu masuk pulau itu iaitu Lapangan Terbang Silangit, ia hanya mengambil masa satu jam.
Foto Sumber: Indonesia Travel News |
“AirAsia percaya dengan usaha ini, ia bakal menyokong hasrat Indonesia bagi meningkatkan kehadiran 20 juta pelancong menjelang 2019,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Laluan Baharu Danau Toba-Kuala Lumpur di sini hari ini, lapor UTUSAN ONLINE.
Yang hadir sama, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim Indonesia, Luhur Binsar Pandjaitan.
Turut hadir sama, Pengerusi Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Dendy Kurniawan.
Pada masa sama, Tony berkata, Danau Toba bakal menjadi Bandung kedua kerana mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang perlu diketengahkan kepada orang ramai.
Beliau menjelaskan, AirAsia merupakan perintis laluan penerbangan Bandung ke Kuala Lumpur sekali gus telah menjadikan lokasi itu sebagai tumpuan orang ramai sehingga ini.
Foto Sumber: BeritaSatu.com |
“Saya percaya laluan ini bakal menjadikan Danau Toba sebagai tumpuan yang terbaharu di Indonesia,” katanya.
Sebagai permulaan, AirAsia menawarkan tambang pengenalan istimewa untuk laluan dari Kuala Lumpur ke Silangit daripada RM39.10.
Tambang ini tersedia untuk tempahan di laman web www.airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia bermula 2 Ogos hingga 12 Ogos ini untuk tempoh perjalanan dari 28 Oktober ini hingga 29 Mac 2019. -
SUMBER: AIRASIA & UTUSAN ONLINE