INFO PENERBANGAN | Kadar tambang penerbangan perlu dinaikkan berikutan lonjakan harga bahan api dan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) yang terus kukuh, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd.
"Saya tidak fikir kadar tambang kapal terbang akan kembali seperti 2019. Semua syarikat penerbangan juga perlu menjana keuntungan selepas pembukaan sempadan.
"Jika dilihat, tambang kapal terbang juga masih lebih rendah berbanding tambang teksi dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2," kata Tan Sri Tony Fernandes pada sidang media selepas pelancaran penerbangan sulung pesawat AirAsia Indonesia bagi laluan Jakarta-Silangit, baru-baru ini, lapor BH Online pada 5 September 2022/Isnin.
Capital A, pengendali rangkaian penerbangan AirAsia menetapkan sasaran peningkatan jumlah individu kembali menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu kepada 40 juta penumpang menjelang akhir tahun ini.
Ia bersandarkan kepada peralihan negara ke fasa endemik, selain perkembangan ketara susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa beberapa negara, sama ada secara sepenuhnya mahupun berperingkat.
Tony berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan kekerapan penerbangan yang beroperasi tahun ini, selain angka berkenaan ditetapkan dua kali ganda berbanding jumlah penumpang direkodkan pada 2021.
Beliau bagaimanapun mengakui sukar untuk mencapai tahap prapandemik menjelang akhir tahun ini, selain menjelaskan kemungkinan angka itu diperolehi pada suku ketiga 2023.
"Pertumbuhan tahun ini sangat besar berbanding 2021. Bagaimanapun ia bukanlah perbandingan sihat kerana tahun lalu tidak banyak penerbangan yang boleh beroperasi dan kita berharap boleh mencapai hampir 40 juta penumpang menjelang akhir tahun ini.
"Industri penerbangan juga diramal kembali pulih sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun depan sejurus beberapa negara, terutama di utara Asia membuka pintu sempadan mereka secara sepenuhnya mahupun berperingkat.
"Ini dapat dilihat menerusi peningkatan ketara jualan tiket selepas pintu sempadan kembali dibuka, mulai 1 April lalu," katanya.
Mengenai pendirian China yang masih menutup sempadan antarabangsanya, Tony berkata, keadaan itu tidak memberikan impak langsung kerana syarikat berkenaan kini telah membuka lebih banyak laluan ke destinasi lain.
Katanya, jumlah penumpang bagi laluan ke China hanya membabitkan 15 peratus berbanding keseluruhan individu menggunakan perkhidmatan penerbangan syarikat itu, selain menjelaskan angka itu telah diatasi menerusi pembukaan laluan baharu di Indonesia, Thailand dan India.
"India kini muncul sebagai destinasi membabitkan pertumbuhan pasaran yang besar, selain (penutupan sempadan) China memberikan Malaysia dan Thailand peluang bagi pembukaan laluan baharu.
"Ketika ini, kebanyakan sempadan antarabangsa negara di utara Asia masih ditutup. Misalnya di Jepun, sempadan mereka dibuka berperingkat bagi pengembara asing, manakala Korea pula dijangka dibuka sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
"Sempadan antarabangsa Taiwan juga masih belum dibuka setakat ini. Saya percaya sempadan China akan dibuka secara berperingkat antara akhir tahun ini atau pertengahan 2023. Justeru, kita jangka pasaran utara Asia akan kembali pulih menjelang tahun depan," katanya.