COVID-19: Angka Korban di UK Meningkat Kepada 18,738

LONDON

LONDON: Kementerian Kesihatan Britain hari ini memaklumkan 616 orang lagi meninggal dunia di hospital selepas didapati positif COVID-19, menjadikan jumlah kematian rasmi di negara itu menjadi 18,738 orang.

Jumlah itu yang direkod untuk tempoh 24 jam sejak Rabu, berbanding angka lebih rendah iaitu 759 kes kematian dilaporkan semalam, selepas kerajaan negara itu mendakwa penularan virus sudah mencapai tahap puncak ketika perdebatan semakin memuncak berhubung pelonggaran langkah-langkah sekatan.

Britain tetap menjadi satu negara paling teruk terjejas ekoran pandemik itu dan sudah melaksana peraturan jarak sosial yang ketat selama sebulan.

Universiti Oxford sudah memulakan percubaan kajian terhadap manusia bagi melihat potensi penghasilan vaksin COVID-19 hari ini, dengan matlamat ia akan diperkenal kepada umum akhir tahun ini, jika berjaya.

Itu dilaksana selepas Ketua Pegawai Perubatan negara itu, Chris Whitty, semalam memberi amaran bahawa beberapa langkah sukar dapat dilaksana berbaki tahun ini sehingga vaksin dijumpai.

Tetapi Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon hari ini berkata, sekatan boleh ditarik secara berfasa di bahagian utara bersempadan dengan England, biarpun tidak menolak kemungkinan penutupan sepenuhnya.

Pemerintah Britain di London dikritik atas tanggapannya terhadap wabak berkenaan, dengan dakwaan mereka lambat mengenakan sekatan dan memperkenal ujian saringan yang meluas.

Terdapat juga kebimbangan kes virus yang disahkan hanya meliputi mereka yang sudah diuji positif di hospital, namun angka sebenarnya jauh lebih tinggi.

SUMBER: AFP/ 23 APRIL 2020

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...