KRISIS RUSSIA-UKRAINE | HARI KETIGA PERANG | Pertempuran Hebat Kedua-Dua Tentera Di Ibu Kota Kyiv



   Sumber Grafik : Daily Mail Online


GLOBAL | Tentera Ukraine pada 26 Februari 2022/Sabtu menangkis serangan Russia di ibu negara itu, kata tentera hanya beberapa jam selepas Presiden Volodymyr Zelensky memberi amaran bahawa Moscow akan cuba menawan Kyiv sebelum subuh.


Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 26 Februari 2022 melaporkan pemimpin Russia, Vladimir Putin melancarkan pencerobohan besar-besaran Khamis lalu/ 24 Februari 2022 menyebabkan berpuluh orang terbunuh.


Krisis itu memaksa lebih 50,000 melarikan diri dari Ukraine dalam tempoh 48 jam sahaja, yang mencetuskan kebimbangan Perang Dingin baharu di Eropah.


Negara-negara Barat mengumumkan sekatan khusus yang menyasarkan Putin ketika tenteranya mara ke Ukraine, manakala Zelensky menggesa negara itu terus mempertahankan diri.


"Perhatian khusus pada Kyiv - kita tidak boleh kehilangan ibu negara ini," katanya.


"Saya menyeru kepada rakyat, lelaki dan perempuan, di semua bahagian: malam ini musuh akan menggunakan semua kekuatan yang ada untuk menghancurkan pertahanan kita dengan cara yang penuh khianat, keras dan tidak berperikemanusiaan," katanya.


"Malam ini mereka akan cuba menyerbu ibu negara," katanya.


Zelensky yang sebelum ini sudah meminta bantuan lebih kuat daripada Barat berkata, beliau sudah bercakap dengan beberapa pemimpin termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Canselor Jerman, Olaf Scholz dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berhubung perkembangan terbaharu itu.


"Kami bersetuju untuk mendapatkan lebih banyak bantuan, lebih banyak sokongan dan ia sangat penting untuk negeri kami," katanya.


Orang awam yang bersedia untuk berhadapan dengan tentera Russia yang bersenjata lengkap, kini mengumpulkan senapang dan Kementerian Pertahanan Ukraine menggesa rakyat 'untuk membuat bom Molotov bagi menentang musuh'.


"Buat pertama kali saya mengambil dan memegang senjata semalam.


"Kami akan cuba yang terbaik," kata pengajar paragliding yang bertukar menjadi pejuang sukarelawan, Roman Bondertsev.


Di pusat bandar Kyiv, wartawan AFP mendengar letupan kuat.


"Pertempuran hebat berterusan," menurut Perkhidmatan Komunikasi Khas Negara Ukraine memaklumkan dalam aplikasi Telegramnya sekitar jam 3.30 pagi (waktu tempatan).


Tentera Ukraine memaklumkan Russia telah 'menyerang salah satu unit tentera di Victory Avenue di Kyiv' tetapi serangan itu berjaya 'ditangkis'.


Turut dilaporkan satu lagi insiden di barat laut ibu negara.


AFP melihat seorang lelaki berpakaian awam terbaring terlentang di atas kaki lima dipercayai sudah meninggal dunia ketika pegawai perubatan berhampiran bergegas membantu lelaki lain yang keretanya dirempuh kenderaan berperisai.


Kyiv berkata, 137 orang, termasuk tentera dan orang awam telah terbunuh.


Sementara itu, Kementerian Pertahanan negara itu berkata 'dua sasaran musuh ditembak jatuh' - yang dikenal pasti sebagai helikopter SU-25 Russia dan pesawat pengebom tentera - berhampiran zon pemisah di timur.


Sebuah pesawat pengangkut Russia juga telah berjaya 'ditewaskan' berhampiran Vasylkiv, sebuah bandar kira-kira 30 kilometer di barat daya Kyiv, menurut kementerian itu di laman Facebook rasminya.


Terdahulu, serangan melalui senjata kecil dan letupan kedengaran di daerah utara Obolonsky di ibu negara itu yang dilihat sebagai serangan pendahuluan pasukan penceroboh Russia bagi meninggalkan jejak.


Tentera Ukraine dilaporkan bertempur dengan unit perisai Russia di dua lokasi antara 40-80 kilometer di utara Kyiv.


Kementerian Pertahanan Ukraine berkata, 2,800 askar Russia telah terbunuh, namun tiada sebarang bukti disertakan.


Moscow sehingga kini masih belum melaporkan mengenai kematian. -

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...