Ini Negara Saya, Saya Tidak Akan Larikan Diri – Zelensky



GLOBAL | Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menegaskan beliau dan keluarganya terus berada di Kyiv serta tidak asesekali melarikan diri, biarpun mengetahui dirinya adalah sasaran utama Rusia, lapor Agensi  Berita Antarabangsa AFP pada 26 Februari 2022.


“Ini negara saya, saya dan keluarga akan kekal di sini tanpa perlu lari ke mana-mana biarpun Rusia menyasarkan saya.


“Saya adalah sasaran nombor satu, manakala keluarga saya sasaran nombor dua dan apa pun berlaku, kami tetap bersama rakyat.


“Rusia mahu menghancurkan saya kerana ingin melumpuhkan Ukraine dan saya tegaskan sekali lagi, perkara itu tidak akan berlaku,” tegasnya.


Terdahulu, beliau menzahirkan rasa sedih dan kecewa apabila mendakwa negara ini dibiarkan keseorangan menentang kemaraan Rusia selepas Kremlin melancarkan serangan besar-besaran yang sehingga ini meragut lebih 130 nyawa tentera Ukraine.


Washington dan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dilaporkan sudah mengerahkan bantuan ketenteraan untuk membantu Ukraine namun tiada arahan untuk menggerakkan tentera mereka kerana bimbang akan mencetuskan konflik yang lebih besar di Eropah.


Zelensky memaklumkan, sekurang-kurangnya 137 tentera Ukraine termasuk penduduk awam maut dalam serangan yang berlaku sejak awal pagi Khamis, selain lebih 300 cedera.


Pemimpin Ukraine itu turut menasihatkan penduduk di kawasan bandar supaya berhati-hati dan mematuhi arahan tentera bagi mengelak hal yang tidak diingini berlaku.


Hal ini kerana, Zelensky mendakwa ‘sejumlah kumpulan sabotaj Rusia’ sudah pun memasuki Kyiv untuk mencetuskan huru-hara dan ketakutan kepada penduduk.


Setakat ini, Rusia masih meneruskan kemaraan di Ukraine dengan menyasarkan beberapa kawasan dan dilaporkan sudah menguasai tapak loji nuklear Chernobyl.


Sementara itu, tentera Ukraine menggantung operasi semua pelabuhan komersialnya selepas diserang Rusia, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya gangguan bekalan termasuk dari pengeksport bijirin dan bijian minyak.


Pelabuhan utama Ukraine dalam mengeksport bijirin termasuk Chornomorsk, Mikolayiv, Odessa, Kherson dan Yuzhny.


Ukraine adalah pengeksport utama jagung, kebanyakannya untuk pasaran China dan Kesatuan Eropah (EU), malah sering bersaing dengan Russia untuk membekalkan gandum kepada pembeli utama seperti Mesir dan Turki.  


Perancis, UK Hantar Bekalan Senjata Ke Ukraine


Perancis dan United Kingdom (UK) akan menghantar bekalan senjata ke Ukraine bagi membantu pihak tentera berhadapan askar Rusia.


Lapor BBC pada 26 Februari 2022, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memuat naik tulisan di Twitter sudah menghubungi Presiden Perancis, Emmanuel Macron awal pagi, hari ini (26 Februari 2022), ketika pertempuran menyaksikan episod baharu di ibu negara.


“Gabungan anti-peperangan sedang bekerjasama,” tulisnya.


Menteri Angkatan Tentera UK, James Heappy turut memaklumkan perkara sama dan lebih banyak bekalan senjata akan dihantar ke Kyiv.


Jelasnya, UK bersama 25 negara lain turut bersetuju membekalkan lebih banyak ‘bantuan kemanusiaan’ ke negara itu.


“UK sedang bekerjasama dengan negara terlibat untuk menyelaraskan bagaimana bantuan ketenteraan dapat dihantar dan diserahkan kepada rakyat Ukraine,” katanya.



TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...