KRISIS RUSSIA-UKRAINE 2022 | 137 Maut Hari Pertama Pertempuran - Presiden Ukraine

   Sumber Foto: Media Antarabangsa


GLOBAL | Presiden Volodymyr Zelensky berkata 137 rakyat Ukraine maut pada Khamis selepas negaranya diserang besar-besaran oleh tentera Russia, lapor agensi berita antarabangsa AFP pada 25 Februari 2022/Jumaat.


"Hari ini kami telah kehilangan 137 wira kami, rakyat kami. Tentera dan orang awam," kata Zelensky dalam ucapan video, sambil menambah 316 orang lagi cedera. 


Presiden Ukraine menegaskan negaranya ditinggalkan sendirian dalam melawan Russia selepas Kremlin melancarkan serangan besar-besaran yang membunuh 137 rakyat Ukraine pada hari pertama pencerobohan.


"Kita ditinggalkan sendirian untuk mempertahankan negara," kata Volodymyr Zelensky dalam ucapan video kepada rakyatnya selepas tengah malam.


"Siapa yang bersedia untuk berjuang bersama kita? Saya tidak nampak sesiapa. Siapa yang bersedia untuk memberi Ukraine jaminan keahlian NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara)? Semua orang takut," katanya.


Zelensky berkata 137 warga Ukraine membabitkan anggota tentera dan orang awam terbunuh sejak permulaan serangan awal Khamis, manakala 316 lagi cedera.


Zelensky berkata 'kumpulan sabotaj' Russia memasuki ibu kota Kyiv dan menggesa warga kota itu untuk terus berwaspada dan mematuhi perintah berkurung.


Mengulas lanjut Presiden berkata, beliau dan keluarganya akan kekal di Ukraine walaupun Russia mengenal pasti beliau sebagai sasaran nombor satu.


"Mereka mahu memusnahkan Ukraine secara politik dengan menjatuhkan ketua negara," kata Zelensky. 


Usul AS, Albania Kutuk Russia Diundi Di PBB 


Sementara itu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada 25 Februari 2022 bakal mengundi bagi meluluskan resolusi mengecam serangan Russia di Ukraine.


Ia juga menuntut Russia membawa keluar tenteranya dari Ukraine, namun resolusi dijangka gagal diluluskan kerana kuasa veto Moscow.


Resolusi itu yang diusulkan Amerika Syarikat (AS) dan Albania, dibuat berasaskan bab tujuh dalam Piagam PBB, yang membenarkan 'tindakan ketenteraan menerusi udara, laut dan darat' untuk menegakkan keselamatan dan keamanan antarabangsa.


Bagaimanapun, pihak diplomat menjangkakan resolusi itu dijangka berakhir dengan kegagalan kerana kuasa veto Russia selaku anggota tetap UNSC.


Namun, seorang pegawai kanan AS yang enggan dinamakan berkata, Washington berpendapat tindakan Russia menggunakan kuasa veto akan menunjukkan betapa negara itu dipinggirkan.


Timbalan Duta Russia ke PBB, Dmitry Polyanskiy, mengesahkan kepada AFP bahawa pengundian itu akan diadakan hari ini pada jam 2000 GMT.


Pengundian untuk resolusi seumpamanya turut dijangkakan dalam Perhimpunan Agung PBB (UNGA), yang mana 193 anggotanya tidak memiliki kuasa veto dan resolusi yang diputuskan tidak mengikat.


Berdasarkan draf resolusi itu, UNSC akan mengutuk keras tindakan keras Russia terhadap Ukraine kerana melanggar Perkara 2, perenggan 4 Piagam PBB, yang memperuntukkan negara anggota tidak boleh menyerang negara lain.


Sekiranya resolusi itu diluluskan, Russia perlu menamatkan serangan di Ukraine dengan segera, dan menarik tenteranya keluar dari Ukraine segera dan menyeluruh tanpa syarat.


Pada 2014, selepas Russia merampas wilayah Crimea daripada Ukraine, satu resolusi mengutuk Moscow berjaya memperoleh 13 daripada 15 undi, dengan China memilih untuk berkecuali dan Russia menggunakan kuasa veto.


Resolusi itu kemudian dibawa ke UNGA dan menerima 100 undi, manakala 11 negara menentang, 58 berkecuali dan selebihnya tidak terbabit dalam pengundian. 


Sumber Berita - AFP/25 Februari 2022




TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...