OCBC Malaysia memproses semua pendaftaran pakej moratorium dalam tempoh yang ditetapkan tanpa sebarang penolakan sejak bantuan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dilancarkan 7 Julai lalu.
Pendaftaran berkaitan perbankan pengguna hampir kesemuanya diproses pada hari sama, manakala bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro dalam masa tujuh hari, lebih singkat berbanding tempoh 14 hari yang ditetapkan bagi usaha berkenaan.
OCBC Malaysia terdiri daripada OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dan anak syarikat perbankan Islam miliknya, OCBC Al-Amin Bank Bhd (OCBC Al-Amin).
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin, berkata bank itu komited untuk terus membantu pelanggan yang menanggung beban kewangan akibat kesan pandemik.
Beliau berkata, bank itu merangka sistem dalaman yang mantap untuk memastikan semua pendaftaran diproses dengan lancar, agar pelanggan boleh meneruskan usaha membina semula perniagaan tanpa perlu bimbang dengan pinjaman dan pembiayaan pada masa-masa sukar.
"Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa pelanggan seharusnya kekal positif tidak kira betapa mencabar keadaan kerana mereka boleh mendapatkan bantuan.
"Kami percaya kebanyakan daripada mereka yang memerlukan bantuan sudah pun menerimanya.
"Bagaimanapun, jika ada sesiapa yang masih belum mendaftar dan perlu melakukannya, sila berbuat demikian di dalam talian menerusi proses pendaftaran mudah kami," katanya dalam kenyataan media pada 9 Ogos 2021/Isnin.
Eng Bin berkata, walaupun angka kes COVID-19 masih tinggi, keyakinan bank tetap disokong oleh kadar pemvaksinan tinggi yang dicapai oleh negara ini.
Katanya, ia bermakna perniagaan boleh dibuka semula secara beransur-ansur supaya ekonomi boleh kembali rancak dan meneruskan kelangsungan perniagaan pelanggan.
Di bawah pakej PEMULIH, pelanggan boleh mendaftar di dalam talian atau di cawangan bank untuk mendapatkan sama ada penangguhan ansuran enam bulan atau pengurangan ansuran sebanyak 50 peratus untuk tempoh enam bulan.
Selain program moratorium asas, OCBC Bank juga menawarkan ahli kad kredit peluang untuk menukarkan baki belum jelas menjadi pinjaman atau pembiayaan tiga tahun dengan kadar faedah atau keuntungan lebih rendah supaya mereka boleh menguruskan hutang masing-masing dengan lebih baik.