COVID-19: Sepertiga Penduduk AS Dikenakan Perintah Berkurung

Covid-19: United States


NEW YORK: Hampir sepertiga penduduk Amerika Syarikat (AS) diletakkan di bawah perintah berkurung dengan Ohio, Louisiana dan Delaware menjadi tiga negeri terbaru, bagi mengekang pandemik COVID-19 di negara itu.

Sebelum ini perintah berkurung dikuat kuasa di New York, California, Illinois, Connecticut dan New Jersey membabitkan keseluruhan 101 juta penduduk.

AS mencatatkan 33,000 jangkitan dengan 400 kematian akibat COVID-19.

Gabenor Ohio, Mike DeWine, berkata langkah terbaru itu bagi membolehkan pandemik diperlahankan, sekali gus memberi kerajaan masa untuk merawat pesakit dengan sistem penjagaan kesihatan yang ada.

Ohio mencatatkan 351 kes dengan tiga kematian dan Louisiana pula 837 kes dengan 20 kematian di beberapa pusat penjagaan warga emas.

Gabenor Louisiana, John Bel Edwards, berkata negeri itu mencatatkan kes ketiga tertinggi per kapita yang menyaksikan pertambahan 10 kali ganda kes berbanding minggu lalu.

Perintah itu bermula tengah malam tadi dan berlanjutan hingga 6 April ini di Ohio, sementara di Louisiana bermula jam 5 petang ini sehingga 12 April dan Delaware bermula 8 pagi pada keesokan hari (Selasa).

Semalam, Datuk Bandar New York, Andrew Cuomo, berkata bandar raya itu, yang menjadi pusat epidemik coronavirus AS, menggambarkan wabak itu sebagai krisis domestik terbesar sejak Kemurungan Besar atau ‘Great Depression’.

Beliau turut mendesak Kerajaan Persekutuan mengambil alih perolehan bekalan perubatan supaya negeri tidak perlu bersaing antara satu sama lain berikutan sumber terhad.

Katanya, malapetaka itu memaksa kerajaan menggerakkan tentera bagi membantu menjaga sistem penjagaan kesihatan daripada menjadi semakin buruk.

Datuk Bandar Louisiana, Bill de Blasio pula berkata, jika tidak melaksanakan perintah ini, dalam masa 10 hari akan ada lebih ramai orang yang meninggal dunia.

Beliau mendedahkan, bandar raya itu mencatatkan 9,600 kes dan 63 kematian.

Gabenor Texas, Greg Abbot pula menyuarakan isu kekurangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk pekerja kesihatan, yang difahamkan penghantaran hanya boleh dibuat pada Julai depan.

Penduduk di serata dunia terpaksa menyesuaikan diri dengan realiti baru, di mana negara seperti Itali, Sepanyol dan Perancis melaksanakan perintah berkurung.

Amerika Selatan juga mengambil langkah sama menangani penularan pandemik berikutan jangkitan global melebihi 325,000 kes dan 14,000 kematian. 

SUMBER: REUTERS

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...