COVID-19: India Isytihar Perintah Berkurung Di New Delhi Dan Daerah Lain

India Lockdown

NEW DELHI: Perintah berkurung diisytiharkan di New Delhi sehingga 31 Mac ini bagi membendung penularan COVID-19, dengan polis diberi kuasa menghukum mereka yang ingkar arahan jangan keluar rumah.

Ketua Menterinya, Arvind Kejriwal, berkata sempadan dengan negeri lain turut ditutup dan khidmat pengangkutan awam dihentikan.

“Kita belajar daripada pengalaman di serata dunia bahawa kalau kita kurang keluar rumah, maka kuranglah hubungan kita dengan orang lain, sekali gus dapat menyelamatkan nyawa kita.

“Berulang kali sudah kita katakan bahawa hanya anda saja yang boleh menyelamatkan diri sendiri daripada coronavirus ini,” katanya.

Arahan perintah berkurung itu dibuat hanya beberapa jam selepas jutaan penduduk India akur kepada permintaan Perdana Menteri, Narendra Modi, supaya mereka mengasingkan diri selama sehari untuk membendung penularan COVID-19.

Kerajaan pusat India, dalam satu kenyataan semalam, mengesahkan 341 kes coronavirus, dengan tujuh kematian.

Pakar menyatakan, jumlah kes di India mirip kepada kadar yang ditunjukkan pada peringkat awal di negara terjejas teruk akibat pandemik itu, sebelum menyaksikan peningkatan ketara secara mendadak.

Walaupun pengumuman kerajaan pusat itu diminta dipatuhi secara sukarela, ia disusuli dengan tindakan mengisytiharkan perintah berkurung sehingga akhir Mac ini oleh beberapa negeri di India.

Sekurang-kurangnya 75 daerah di serata India di mana kes coronavirus disahkan kini diletakkan di bawah perintah berkurung.

Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri di New Delhi berkata kerajaan negeri mengeluarkan perintah bahawa hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi di kira-kira 75 daerah berlaku kematian atau kes COVID-19 yang disahkan.

Perkhidmatan kereta api Indian Railways, yang digunakan kira-kira 25 juta penumpang sehari, membatalkan semua perkhidmatan sehingga 31 Mac ini.

Pegawai perubatan berkata kekurangan kemudahan ujian perubatan mungkin menjejaskan usaha mengetahui jumlah jangkitan di negara yang mempunyai lebih 1.3 bilion penduduk itu.

Kes COVID-19 yang disahkan di Asia Selatan termasuk India meningkat kepada 1,145 mangsa dengan 12 kematian dilaporkan.

Di Sri Lanka, yang mencatatkan lebih 80 kes COVID-19, polis menahan lebih 110 orang kerana melanggar perintah berkurung manakala Afghanistan, dengan 34 kes disahkan, melaporkan kematian pertama semalam.

Selain itu, Pakistan mencatatkan 646 kes, Bangladesh (27 kes), Maldives (13 kes), Bhutan (dua kes) dan satu kes di Nepal. 

SUMBER: REUTERS

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...