71,000 Berisiko Dijangkiti COVID-19 Di Indonesia Menjelang Aidilfitri

Indonesia Lockdown


JAKARTA: Pakar memberi amaran kepada pihak berkuasa Indonesia supaya segera mengambil tindakan drastik bagi memperlahankan penyebaran COVID-19 di negara itu sebelum Ramadan April ini.

Mereka menjangkakan sekurang-kurangnya 11,000 hingga 71,000 penduduk Indonesia berdepan risiko dijangkiti wabak berkenaan sebelum sambutan Aidilfitri.

Pengkaji bagi pengawalan penyakit dan biostatistik, Ridzi Fahdri Elyazar, bersama kumpulan penyelidiknya di Unit Kajian Klinikal Eijkman-Oxford, menggunakan kaedah turutan geometrik bagi meneliti masa yang mungkin diperuntukkan bagi pertambahan berganda kes COVID-19 di Indonesia.

Mengikut pengiraan kumpulan pengkaji itu, Indonesia dijangka berdepan peningkatan mendadak sebanyak 71,000 kes Covid-19 menjelang penghujung April ini.

Mereka turut merujuk kes COVID-19 membabitkan dua negara dengan kematian tertinggi iaitu Itali mencatatkan pertambahan berganda dalam jangka masa lima hari, manakala Iran pula dalam tempoh tujuh hari.

Menurut Iqbal, gandaan kes akan berpanjangan bagi negara yang gagal mengambil langkah drastik mencegah penularan wabak berkenaan, umpamanya Korea Selatan dan China yang mencatatkan kes berganda dalam tempoh 13 dan 33 hari.

Di Indonesia, kes COVID-19 menunjukkan peningkatan berganda dalam tempoh tiga hari, di mana ia meningkat daripada 172 kes disahkan positif wabak itu pada 17 Mac kepada 369 kes Jumaat lalu.

“Semakin pendek tempoh masa membabitkan gandaan kes, ia petanda keadaan lebih merbahaya,” katanya.

Beliau turut memberitahu, berdasarkan kajian yang dilaksanakan, pertambahan kes mengikut tempoh masa tertentu turut bergantung kepada keupayaan virus berkenaan tersebar, jumlah dapatan kes dan keberkesanan usaha pencegahannya.

Justeru, katanya, sekiranya langkah pengawalan tidak dilaksanakan segera, berkemungkinan penyebaran COVID-19 di Indonesia boleh mencecah antara 11,000 hingga 71,000 menjelang penghujung April nanti.

Katanya, ramalan itu sepatutnya dipandang serius oleh kerajaan untuk segera melaksanakan langkah pengawalan drastik bagi menguruskan pandemik itu selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penjarakan sosial.

“Presiden Indonesia, Joko Widodo, menggesa masyarakat umum mengamalkan penjarakan sosial dan kami berharap rakyat akan melaksanakannya.

“Hanya melalui cara ini risiko kenaikan berganda kes COVID-19 dapat dikurangkan…ia perlu dibuat dengan segera dan lebih cekap,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengikut unjuran Profesor Matematik Gunaan di University of Essex, England dan Khalifa University of Science and Technologi di Emiriah Arab Bersatu (UAE), COVID-19 di Indonesia dijangka memuncak pada bulan Ramadan.

“Ini adalah ramalan pesimistik yang dibuat melalui model matematik mudah. Saya juga tentu saja berharap yang jangkaan ini adalah salah,” katanya. 

SUMBER: AGENSI

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...