Pandemik COVID-19 Makin Pantas Merebak - WHO



GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pandemik COVID-19 kini merebak semakin pantas tetapi masih boleh dibendung.

Kematian akibat coronavirus itu kini melebihi 15,000 orang dengan lebih 341,000 orang dijangkiti di seluruh dunia, berdasarkan data AFP daripada sumber rasmi.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata hanya dalam masa 67 hari bermula kes pertama dikesan, ia kini mencecah 100,000 untuk kes pertama.

“Sementara itu, manakala 100,000 kes kedua serta ketiga masing-masing dilaporkan dalam tempoh 11 dan empat hari,” katanya dalam taklimat harian berhubung perkembangan pendemik itu.

Bagaimanapun, angka rasmi itu dipercayai hanya sebilangan kecil daripada jumlah sebenar kerana kebanyakan negara hanya melakukan ujian pengesahan terhadap kes yang amat serius dan perlu dimasukkan ke hospital.

Tedros berkata usaha merawat pesakit COVID-19 tidak mencukupi, sebaliknya virus itu sendiri perlu dibasmi jika mahu memenangi perang menentangnya.

Beliau turut mengakui banyak negara masih kekurangan sumber untuk mengambil langkah lebih agresif bagi merawat atau melakukan ujian pengesahan penyakit.

Tedros juga memuji usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mendapatkan vaksin dan ubat bagi merawat COVID-19.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada kaedah rawatan atau ubat yang terbukti berkesan bagi membasmi COVID-19 dan berhati-hati menggunakan ubat yang tidak terbukti berkesan.

“Menggunakan ubat yang belum diuji tanpa bukti kukuh sama ada mujarab atau tidak mungkin membawa lebih kemudaratan berbanding kebaikan,” katanya.

Antara lain, beberapa negara kini menggunakan ubat anti-malaria bagi merawat COVID-19.

Tedros berkata peningkatan jumlah pekerja kesihatan yang didapati positif COVID-19 juga membimbangkan.

Tegas beliau mereka perlu dilindungi daripada virus itu kerana ramai pesakit akan meninggal dunia sekiranya golongan yang merawat mereka turut terancam.

Kata Tedros, 10 juta orang kini menggunakan sistem amaran WHO mengenai laporan kecemasan menerusi khidmat WhatsApp dengan versi bahasa Arab, Perancis dan Sepanyol diperkenalkan minggu ini.

Beliau juga bercadang meminta bantuan pemimpin negara G20 untuk bersama-sama melawan pandemik itu seberapa kuat yang boleh. 

SUMBER: AFP

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...