Firefly Mulakan Semula Penerbangan Dari LTSAAS Ke Seletar Mulai 13 Jun


    Sumber Foto: Laman Sesawang Today.com


PENERBANGAN | Syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia Aviation Group (MAG), Firefly menyambung semula perkhidmatannya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang ke Lapangan Terbang Seletar bagi memberi kemudahan kepada pelanggan di wilayah timur laut Singapura.


Menurut Firefly, penyambungan semula perkhidmatan penerbangan itu berkuat kuasa mulai 13 Jun 2022 selepas dua tahun digantung ekoran pandemik yang menyaksikan pintu sempadan ditutup, lapor BH Online pada 23 Mei 2022.


"Penerbangan harian dua hala  dikendalikan oleh pesawat turboprop ATR 72-500 dengan kapasiti 72 tempat duduk.


"Kami akan meningkatkan perkhidmatan secara progresif menjelang akhir tahun," katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif Firefly berkata syarikat penerbangan itu gembira dapat menghubungkan semula komuniti di Malaysia dan Singapura sama ada untuk perniagaan, masa lapang atau dengan orang tersayang.


"Memandangkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyasarkan menarik dua juta pelancong antarabangsa ke Malaysia tahun ini, Firefly melihat ini sebagai masa yang sesuai untuk memulihkan dan memainkan peranan menghubungkan masyarakat dalam kedua-dua negara," kata  Philip See.



Sementara itu, Pengarah Urusan Pembangunan Hab Udara Changi Airport Groupberkata, pihaknya gembira dengan penyambungan semula penerbangan Firefly ke Lapangan Terbang Seletar dengan lebih banyak pilihan untuk penumpang yang melakukan perjalanan antara kedua-dua negara.


"Kami telah melihat permintaan perjalanan yang kukuh antara kedua-dua negara sejak sekatan perjalanan dilonggarkan.


"Bersama-sama dengan rakan kongsi lapangan terbang kami, Lapangan Terbang Seletar bersedia untuk menyokong operasi Firefly dan berharap dapat mengalu-alukan dan melayani penumpang di lapangan terbang," kata Lim Ching Kiat.


Tiket boleh dibeli mulai 23 Mei 2022 daripada RM119 sehala dan dijual melalui aplikasi mudah alih Firefly, laman web, pejabat tempahan dan ejen pelancongan.


Firefly berkata, pelanggan boleh menikmati kemudahan lapangan terbang bandar, peningkatan kekerapan penerbangan, elaun bagasi percuma seberat 20 kilogram, daftar masuk dan naik cepat serta minuman percuma dalam penerbangan di atas ATR 72-500.

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...