Sekatan Eksport Gandum India Jejas Harga Pasaran Global
EKONOMI | Tindakan India menyekat eksport gandum ke pasaran global termasuk Malaysia dijangka meningkatkan harga produk berasaskan bahan mentah itu, selain bakal menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi dunia, kata Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia.
BH ONLINE pada 17 Mei 2022/Selasa melaporkan Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata langkah yang dilaksanakan bagi melindungi kepentingan pasaran domestik India itu juga dilihat menambah tekanan ke atas rantaian bekalan gandum global yang terjejas akibat krisis Russia-Ukraine.
Jelas beliau ini akan menyebabkan barangan tempatan berasaskan gandum akan menjadi lebih mahal, sekali gus boleh menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi.
Bacaan Lanjut:
Lonjakan Harga Gandum Heret Dunia Ke Arah Krisis Makanan
"Situasi ini dijangka akan berterusan beberapa bulan lagi kerana bukan mudah meningkatkan kembali bekalan gandum dengan segera kerana ia bergantung kepada faktor cuaca dan permintaan peringkat domestik serta global.
"Justeru, rakyat Malaysia dinasihat berhemah dalam berbelanja dan mengutamakan barangan tempatan," katanya.
India melarang eksport gandum berkuat kuasa serta-merta ketika gelombang haba akibat cuaca panas terik menjejaskan hasil tanaman dan harga tempatan mencecah rekod paras tertinggi.
Harga gandum di India meningkat kepada rekod tertinggi dengan beberapa pasaran mencecah 25,000 rupee (RM1,418) satu tan, berbanding harga sokongan minimum ditetapkan kerajaan 20,150 rupee (RM1,143).
Bagaimanapun, kerajaan India menjelaskan, pihaknya masih membenarkan eksport membabitkan surat kredit sudah dikeluarkan serta atas permintaan negara yang berusaha memenuhi keperluan keselamatan makanan mereka.
Pembeli global mengharapkan negara pengeluar gandum kedua besar di dunia itu untuk bekalan selepas eksport dari wilayah Laut Hitam merudum susulan pencerobohan Russia terhadap Ukraine.
Sebelum penguatkuasaan larangan itu, India menyasarkan untuk mencatat rekod eksport 10 juta tan gandum, tahun ini.
Larangan eksport oleh India itu boleh mengakibatkan harga global melonjak ke paras baharu, sekali gus menjejaskan pengguna miskin di Asia dan Afrika.
Peningkatan harga makanan dan tenaga mendorong inflasi runcit tahunan India melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun bulan lalu serta mengukuhkan pandangan ahli ekonomi bahawa bank pusatnya perlu menaikkan kadar faedah secara lebih agresif untuk mengekang harga.
Indonesia sebelum ini turut mengambil langkah menyekat eksport minyak sawit bagi mengekang kenaikan harga komoditi itu, di samping menjaga kepentingan pasaran domestiknya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, berkata sesuatu yang tidak menghairankan apabila India sekat eksport gandum bagi mengawal permintaan dalam negara yang memiliki populasi kedua tertinggi dunia selepas China.
Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menjelaskan ia susulan peperangan Russia dan Ukraine yang menjejaskan bekalan gandum dengan kedua-dua negara itu membekalkan 30 peratus daripada keperluan dunia, maka tidak mengejutkan India pula mengambil tindakan demi kepentingan domestik.
"Selain kekurangan bekalan, kenaikan harga gandum dunia menyebabkan India sukar memenuhi permintaan negara pengimport, jadi India perlu mementingkan rakyatnya dahulu," katanya.
Aimi Zulhazmi berkata, wujud juga gangguan imbangan pembayaran antara eksport dan import susulan kenaikan harga barangan termasuk gandum dalam dolar Amerika Syarikat (AS) yang menjurus kenaikan kadar inflasi dunia.
"Kenaikan harga gandum dunia mula memberi kesan kepada harga barang di Malaysia dan dijangka terus memberikan tekanan, apatah lagi ringgit lemah berbanding dolar AS.
"Ia dijangka berterusan kerana perang masih berlaku dan kemusnahan di Ukraine mengambil masa beberapa tahun untuk diperbaiki, itu pun seandainya perang tamat," katanya.
KPDNHEP Jamin Tepung Gandum Cukup
Sementara itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bahawa bekalan tepung gandum dalam negara adalah mencukupi dan kekurangan bahan itu di pasaran hanya melibatkan jenis yang tidak bersubsidi.
KOSMO1! pada 17 Mei 2022/Selasa melaporkan Ketua Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP berkata, bekalan tepung gandum mencukupi sepanjang 2022 dan belum ada sebarang laporan diterima berhubung insiden keputusan bekalan melibatkan bahan tersebut.
Yunus Tasim berkata bekalan tepung gandum di pasaran adalah stabil ketika ini dan berdasarkan pemantauan oleh 2,200 Penguat Kuasa KPDNHEP di seluruh negara, belum ada laporan diterima yang mengatakan bekalan tepung gandum berkurangan di pasaran.
“Juga belum ada laporan berkenaan kenaikan harga tepung gandum kegunaan am bersubsidi yang mendadak kerana tepung gandum yang dijual melebihi harga kawalan RM1.35 sekilogram (kg) adalah tepung gandum yang tidak bersubsidi,” katanya.
Kosmo! pada 15 Mei 2022/Ahad melaporkan peruncit dan peniaga kini mula resah apabila pihak pemborong mendakwa bekalan tepung gandum hanya mampu bertahan setakat Julai ini berikutan kekurangan bahan utama untuk diproses di peringkat pengilang
Jelas Yunus, kenaikan harga tepung gandum seperti yang didakwa oleh sesetengah peniaga adalah melibatkan tepung gandum tidak bersubsidi di mana harga jualan runcitnya tidak dikawal kerajaan.
“Pengguna boleh mengenali dan membezakan tepung gandum kegunaan am bersubsidi berdasarkan Logo Barang Bersubsidi yang terdapat pada pembungkusan.
“Kerajaan tidak menetapkan atau mengawal harga tepung gandum tidak bersubsidi sebaliknya penetapan harga tepung gandum tidak bersubsidi dibuat oleh pengilang berdasarkan harga komoditi itu di pasaran global,” ujar beliau.
Tambah Yunus, Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa memantau bekalan barangan keperluan di pasaran dan tepung gandum adalah salah satu barangan keperluan yang dipantau rapi bagi memastikan bekalannya sentiasa stabil dan mencukupi.
Beliau memaklumkan, kekurangan bekalan di sesuatu premis selalunya disebabkan tingginya permintaan di lokaliti tersebut dan lambatnya sampai bekalan dari stor pusat ke premis berkenaan.
“Pihak KPDNHEP akan membuat siasatan jika melalui pemantauan kami ada peniaga yang mengambil keuntungan di luar batas munasabah atau mencatut atau ada elemen penyorokan.
“Kami juga mengalu-alukan orang ramai membuat aduan yang lengkap dan terus kepada kami melalui aplikasi WhatsApp di 019-279 4317 atau 019-848 8000.
“Ketika buat aduan ambil foto tanda harga, foto premis kedai dan alamatnya, sertakan dalam laporan tersebut,” katanya.
Bacaan Lanjut: