WASPADA, Penganalisis Jangka Ekonomi Besar Dunia Meleset Pada 2023

   Grafik: Diplomatic Currier


EKONOMI | Banyak ekonomi besar dunia bakal mengalami kemelesetan dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata Nomura Holdings Inc.


Dalam nota penyelidikan ditulis bersama oleh ahli ekonominya, Rob Subbaraman dan Si Ying Toh berkata kemungkinan itu berpunca daripada dasar kerajaan diperketatkan dan kos sara hidup semakin meningkat, sekali gus mengheret ekonomi global terjerumus ke arah 'pertumbuhan perlahan secara serentak'.


Nomura berkata, negara seperti Eurozone, United Kingdom (UK), Jepun, Korea Selatan, Kanada, Australia dan Amerika Syarikat (AS) akan terjerumus ke dalam kelemesetan.



Katanya terdapat isyarat semakin jelas ekonomi dunia mengalami kelembapan pertumbuhan serentak, bermakna negara-negara tidak boleh lagi bergantung kepada peningkatan eksport untuk mencatatkan pertumbuhan.


"Ini menyebabkan kami mengunjurkan kemeseletan di beberapa negara," kata Nomura.


Firma penyelidikan itu berkata, tahap kedalaman kemelesetan berbeza antara satu sama lain.


Di AS, Nomura meramalkan kemelesetan kecil, namun berpanjangan sehingga lima suku tahunan bermula dari suku terakhir 2022.


Inflasi dan kenaikan harga menjejaskan isi rumah di AS dan meningkatkan kebimbangan ke atas pentadbiran Joe Biden.


Nomura meramalkan kemelesetan lebih mendalam di Eropah dan terus menjadi semakin buruk seandainya Russia menghentikan seluruhnya penghantaran gas ke rantau itu, kata kedua-dua ahli ekonominya.


Ekonomi AS dan Eurozone dijangka menguncup satu peratus menjelang 2023.


Nomura berkata, ekonomi bersaiz sederhana seperti Australia, Kanada dan Korea Selatan pula dijangka berdepan risiko kemelesetan lebih mendalam daripada jangkaan seandainya kenaikan kadar faedah menjejaskan sektor perumahan.


Korea Selatan mungkin paling terjejas dengan jangkaan penguncupan 2.2 peratus pada suku ketiga tahun ini.


Kemelesetan di Jepun pula dijangka sederhana berikutan sokongan dasar berterusan dan penangguhan pembukaan semula ekonominya.


Nomura menjangkakan China sebagai terpencil memandangkan pemulihannya ekonomi dibantu oleh dasar akomodatif oleh Parti Komunis China (CCP).


"Risiko tetap ada memandangkan sekatan pergerakan baharu boleh menjejaskan pemulihan, dengan China mengurangkan sekatan namun masih kekal dengan dasar sifar COVID-19," katanya.

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...