Tiada Perubahan Ketara Suhu Pada 4 Julai Susulan Fenomena Aphelion

    Sumber Grafik: MYSA


CUACA | Suhu di Malaysia pada petang 4 Julai 2022/ Isnin dijangka tidak banyak perubahan ketara susulan fenomena aphelion yang dirasai berlaku seluruh dunia menurut  maklumat dipaparkan menerusi laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia.


Fenomena aphelion sebagai merujuk kejadian alamiah tahunan tersebut yang berlaku pada jam 3.10 petang.


Berdasarkan data oleh agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air itu, suhu di Kuala Lumpur diramalkan maksimum 34 darjah Celsius manakala minimum pula 24 darjah Celsius.


Begitu juga kawasan peranginan tanah tinggi terkenal, Cameron Highlands di Pahang yang diramal mencatatkan suhu minimum 16 darjah Celsius serta maksimum 23 darjah Celsius.


Suhu purata berkenaan dianggap sebagai agak normal bagi dua destinasi tersebut dan bukan luar biasa sebagaimana yang tular diperkatakan segelintir warganet menerusi media sosial.


Sebelum ini dda dalam kalangan warga maya membuat ‘cerita’ pelik konon dunia bakal mengalami kejatuhan suhu paling ekstrem ketika fenomena berkenaan dengan cuaca pula amat sejuk.


Pada 1 Julai 2022, Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) melalui hantaran infografik dalam laman sosial rasminya menerbitkan makluman penjelasan mengenai situasi kejadian aphelion.


Ia merupakan keadaan lazim apabila orbit bumi berada pada jarak yang paling jauh daripada matahari dan kali ini kedudukannya dianggarkan dengan jarak 152,098,455 kilometer (km).


Fenomena itu kebiasaannya berlaku selang dua minggu selepas Solstis Musim Panas pada 21 Jun yang menyaksikan siang amat panjang di hemisfera utara dan sebaliknya di selatan.


“Ia berlaku setiap tahun berikutan peredaran bumi mengelilingi matahari dalam orbit berbentuk elips dan tidak akan beri sebarang kesan signifikan kepada penduduk di bumi,” jelas Mysa.


 Jarak antara bumi dan matahari ujar agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu, sentiasa berubah kerana bentuk lengkung orbit planet ini adalah tidak sempurna bulat.


Berlawanan aphelion ialah fenomena perihelion apabila bumi berada pada kedudukan paling dekat dengan matahari dan kejadian ini sudah berlaku pada pukul 2.52 petang 4 Januari lalu.


Ketika waktu tersebut, jarak direkodkan ialah 147,105,052 km, manakala tahun depan pula, perihelion akan terjadi pukul 12.17 tengah malam 5 Januari dengan jaraknya 147,098,925 km.


Sementara itu, fenomena aphelion tahun depan diramalkan berlaku pada pukul 4.06 petang 7 Julai kelak dengan jarak antara bumi dan matahari dianggarkan sejauh 152,093,251 km.

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...