Ini Pesan Mufti Wilayah Persekutuan dan Perak Buat Neelofa

Sumber Foto: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri


DAKWAH: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menggariskan tiga pesanan buat selebriti, Neelofa untuk terus maju dalam kerjaya dan kehidupannya sebagai simbol muslimah berjaya di negara ini.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi surat terbukanya kepada ‘Hajah Neelofa’ berkata, tidak ramai yang mampu menggalas tugas sebagai ‘wanita besi’ dan ‘gergasi’ dalam perniagaan dan kerjaya. 

“Tetapi anda (Neelofa) sudah membuktikannya, malah membanggakan Malaysia dan dunia Islam. 

“Kami berpesan kepada Hajjah Neelofa untuk sama-sama menghayati syariat Islam yang sebenarnya. 

“Di sini (terdapat) tiga perkara iaitu tanyalah ulama’ sebelum bertindak, sentiasa memelihara imej wanita bertudung dan carilah rezeki yang diberkati Allah SWT,” kata Zulkifli dalam kenyataan ‘Qalam Mufti #2: Surat Terbuka Kepada Hajah Neelofa’ pada Selasa malam.


Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kontroversi Neelofa yang hangat diperkatakan berkaitan isu pelancaran produk Naelofar Hijab di sebuah kelab malam di ibu negara pada Isnin.

Malahan, kehadiran wanita bertudung yang menari dengan aksi menghairahkan pada majlis pelancaran koleksi hijab terbaharu, Be Lofa turut dikecam hebat.

Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, tidak salah untuk mencari kelainan kerana kadangkala kelainan itulah yang membawa seseorang ke jalan Tuhan. 

Namun Zulkifli menasihatkan fitnah dan tohmahan perlulah sentiasa dielakkan, sambil menambah bahawa satu kaedah yang masyhur di dalam Islam “matlamat tidak menghalalkan cara”. 

“Perniagaan untuk mendapatkan keuntungan adalah matlamat yang murni. Namun begitu, kaedahnya juga wajib diraikan agar terhasilnya keberkatan,” katanya.

Beliau bimbang apa yang terjadi baru-baru ini bakal membawa satu fenomena normalisasi dalam bertudung. 

“Apa sahaja boleh dan dibenarkan asalkan bertudung. Kekhuatiran ini bukan bermakna agama mengongkong wanita, tetapi agamalah yang sebenarnya membebaskan wanita daripada penjara keterbukaan tanpa had, kepada mendapat hak kebebasan yang bersyariat,” tambah Zulkifli.


Neelofa memberitahu beliau tidak mempedulikan kritikan netizen mengenai pemilihan lokasi pelancaran tudungnya.

Dalam pada itu, Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan masyarakat tidak terus menghentam Neelofa membabitkan penganjuran majlis berkenaan di kelab malam.

“Memalukan, mengaibkan dan memberi tohmahan dan fitnah kepada beliau, bukanlah akhlak seorang Muslim.

“Dalam keadaan seperti ini, alangkah baiknya kita mempunyai nada yang sama, penuh rahmah dan hikmah dalam memperbaiki diri sesama kita. InsyaAllah itulah yang terbaik,” katanya.

Mufti Perak Saran Pengunjung Juga Perlu Bertaubat

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan selebriti, Neelofa supaya bertaubat susulan tindakannya menganjurkan majlis pelancaran tudung di sebuah kelab malam terkemuka di ibu negara pada Isnin.

Malah Harussani turut menasihatkan semua pengunjung beragama Islam yang hadir pada majlis itu untuk sama-sama bertaubat kerana mendekati tempat maksiat.

“Kalau dah tempat tu ada tari-menari dan kelab malam, selalunya ia adalah tempat maksiat. Maka, ia tidak seharusnya dikunjungi oleh sesiapa pun yang beragama Islam.

“Walau apapun tujuannya sama ada ia untuk berniaga atau mempromosikan barangan... tetap tidak boleh,” katanya kepada mStar Online pada Selasa.

Harussani berpandangan bahawa tindakan umat Islam ‘menghidupkan’ kelab malam dengan penganjuran majlis sebagai bersubahat dengan tempat maksiat.

“Haram hukumnya. Dia bersubahatlah kerana ‘menghidupkan’ kelab malam tu. Berniaga tudung di tempat yang haram, haramlah jadinya,” katanya sambil menegaskan bahawa kelab malam lazimnya merupakan tempat yang tidak baik dan mendorong kepada perbuatan maksiat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya semua umat Islam perlu berhati-hati dalam mencari sumber pendapatan yang halal.

“Saya nasihatkan supaya kita berhati-hati. Biar kita mencari nafkah secara halal, janganlah kita melibatkan dengan perkara-perkara yang melanggar syarak.

“Wajib dia (Neelofa) bertaubat. Semua, siapa saja yang berada pada majlis itu di kelab malam,” kata Harussani.


Berikut adalah kenyataan penuh Mufti Wilayah Persekutuan:

Assalamualaikum…

Semoga Hajjah Neelofa dalam keaadan sihat sejahtera hendaknya.

Alhamdulillah kami merafa’kan setinggi kesyukuran ke atasnya, selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, para sahabat yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari akhirat. Kami telah menerima berita yang hangat melalui Facebook, Instagram dan media sosial lain berkaitan isu pelancaran produk Naelofar Hijab di Zouk, Kuala Lumpur. 

Kami mendapat pelbagai pandangan sama ada yang mengecam dan tidak kurang juga yang menyokong tindakan tersebut. Justeru kami terpangil untuk menulis surat terbuka kepada Hajjah Neelofa berkenaan hal ini. 

1. Tudung adalah lambang kehormatan wanita. Tudung adalah simbol kepatuhan seorang hamba kepada perintah Tuhannya. Tudung juga adalah salah satu bentuk kesempurnaan dalam beragama. Sebenarnya, tudung adalah simbol sifat malu seorang wanita, simbol akhlak Muslimah yang perlu dipelihara dan simbol kemegahan Islam yang wajar dibanggakan.

2. ‎Pemakai tudung tidak semestinya sempurna, namun sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dari hari sebelumnya. Indahnya pemakai tudung bukan hanya kerana memelihara auratnya, tetapi lebih daripada itu, mereka sebenarnya memelihara agama-Nya dan mematuhi Allah dan Rasul-Nya.

3. ‎Sangat sukar sebenarnya untuk konsisten bertudung dengan memelihara perilaku dan adab kesopanan. Sehinggakan ada yang menolak untuk bertudung kerana tidak mahu hipokrit. Sedangkan perubahan daripada tidak bertudung, kepada bertudung bukanlah satu bentuk hipokrit kerana ia tidak hanya melibatkan penghijrahan diri tetapi juga penghijrahan hati dalam usaha menggapai redha Ilahi. Jika bukan redha-Nya yang kita impi, apa lagi yang hendak kita cari di dunia ini?

4. ‎Tidak salah untuk kita mencari kelainan. Malah, kadangkala kelainan itulah yang melorongkan seseorang ke jalan Tuhan. Namun, fitnah dan tohmahan perlulah sentiasa dielakkan. Satu kaedah yang masyhur di dalam Islam “Matlamat tidak menghalalkan cara”. Benar, perniagaan untuk mendapatkan keuntungan adalah matlamat yang murni. Namun begitu, kaedahnya juga wajib diraikan agar terhasilnya keberkatan.

5. Kami sangat khuatir, apa yang terjadi baru-baru ini bakal membawa satu fenomena normalisasi dalam bertudung. Apa sahaja boleh dan dibenarkan asalkan bertudung. Kekhuatiran ini bukan bermakna agama mengongkong wanita, tetapi agamalah yang sebenarnya membebaskan wanita daripada penjara keterbukaan tanpa had, kepada mendapat hak kebebasan yang bersyariat.

6. Kepada para ikhwah dan akhawat, masyarakat Muslim Malaysia yang memberi teguran dan saranan, kami merasakan banyak manfaat dan istifadah yang dapat dikutip. Dalam keadaan seperti ini, alangkah baiknya kita mempunyai nada yang sama, penuh rahmah dan hikmah dalam memperbaiki diri sesama kita. InsyaAllah itulah yang terbaik. Memalukan, mengaibkan dan memberi tohmahan dan fitnah kepada beliau, bukanlah akhlak seorang Muslim. Semoga amar ma’ruf dan nahi mungkar yang dijalankan dengan kaedah dakwah yang baik akan membekas dalam sanubari kita.

7. Kami mengenali Hajjah Neelofa sebagai simbol Muslimah yang berjaya. Tidak ramai yang mampu menggalas tugas sebagai “wanita besi” dan “gergasi” dalam perniagaan dan kerjaya. Tetapi anda sudah membuktikannya, malah membanggakan Malaysia dan dunia Islam. Akhir kalam, kami berpesan kepada Hajjah Neelofa untuk sama-sama menghayati syariat Islam yang sebenarnya. Kami noktahnya disini 3 perkara: (i) Tanyalah ulama’ sebelum bertindak (ii) Sentiasa memelihara imej wanita bertudung (iii) Carilah rezeki yang diberkati Allah SWT.

Kami berdoa semoga Hajjah Neelofa terus maju di dalam kehidupan dan kerjaya serta sentiasa memperoleh taufiq, hidayah dan rahmat-Nya. 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...