'Gergasi Dari Timur' Tiba: Eropah Alami Cuaca Buruk, 24 Maut Dalam 4 Hari


Foto Sumber:  The Guardian


The “Beast from the East” has arrived.


CUACA EKSTREM: Keadaan cuaca sejuk dialami di Eropah mungkin fenomena biasa namun tidak kali ini.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan angin kencang dari Siberia menyebabkan suhu menjunam di kebanyakan negara di Eropah, menutupi pantai dengan salji dan mencetuskan amaran buat gelandangan dan warga emas.

Ketika Artik menyaksikan suhu tinggi mencecah paras rekod, sekurang-kurangnya 24 maut di seluruh Eropah dalam tempoh empat hari cuaca buruk yang membawa lebih banyak salji walaupun ke pulau Mediterranean di Corsica dan Capri yang biasanya nyaman.

Sekurang-kurangnya lima kematian dilaporkan di Poland sahaja pada Isnin ketika suhu menurun ke paras 16 darjah Celsius di bawah takat beku semalaman di Warsaw, menjadikan angka kematian akibat cuaca sejuk melampau di negara itu kepada 53 orang sejak November.

Bandar di seluruh benua itu menyediakan pusat perlindungan kecemasan dan bantuan kepada gelandangan, paling banyak mencatat kematian sejak Jumaat lalu termasuk tiga di Perancis, tiga di Republik Czech dan satu di Itali.

Foto Sumber: The Guardian


Di Belgium, bandar termasuk Etterbeek, Verviers dan Charleroi memutuskan menggunakan polis untuk menahan gelandangan jika mereka enggan ditempatkan ke pusat perlindungan.

Palang Merah, yang menubuhkan pasukan kecemasan di seluruh Eropah, menggesa penduduk mengawasi jiran dan saudara mara.

"Mengetuk pintu untuk memeriksa jika mereka mempunyai keperluan cukup memberi perbezaan besar. Ia juga memberi perbezaan antara hidup dan mati," katanya.

Badan kebajikan itu juga mengeluarkan rayuan awam untuk mengumpul 10,000 selimut di Perancis, di mana kira-kira 50 pegawai tempatan di rantau ini berikrar untuk bermalam di luar bagi meraih perhatian terhadap nasib gelandangan. 

Cuaca Sejuk Turut Melampau Landa Romania

Bucharest: Dua maut di Romania, akibat cuaca sejuk melampau melanda Eropah yang turut menyebabkan penerbangan dibatalkan, lalu lintas dan pengangkutan kereta api terganggu manakala sekolah ditutup.

Foto Sumber: The Guardian


Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan ramalan cuaca Siberia menjangka cuaca sejuk itu akan berterusan selama seminggu.

Menurut Institut Situasi Kecemasan (ISU), seorang wanita berusia 83 tahun di selatan Romania pengsan dalam salji sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Agensi berita Agerpres melaporkan, lelaki berusia 65 tahun ditemui mati lewat kelmarin di daerah Suceava.

Menurut polis Romania, lebih 80 perkhidmatan kereta api dan 15 penerbangan terpaksa dibatalkan, malah pelabuhan Laut Hitam dan sekolah turut ditutup.

Salji direkodkan turun setebal 182 sentimeter di Delnice, utara Croatia dan pasukan penyelamat mengambil mas beberapa jam untuk memindahkan penduduk di perkampungan Mrzle Vodice berdekatan.

Suhu direkod serendah - 20 darjah Selsius di Zavizan.


SUMBER: REUTERS/AFP

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...