Photo By: SAYS |
KEWANGAN: CIMB Bank Bhd. (CIMB) dan CIMB Islamic Bank Bhd. (CIMB Islamic) mengumumkan peningkatan Kadar Asas (BR) dan Kadar Deposit Tetap sebanyak 0.25 peratus, ekoran kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
CIMB dalam satu kenyataan memaklumkan, pinjaman dan pembiayaan berdasarkan kadar pinjaman asas (BLR) dan kadar pembiayaan asas (BFR) masing-masing juga akan dinaikkan sebanyak 0.25 peratus berkuat kuasa 2 Februari 2018.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mengumumkan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus.
Menurut BNM, tindakan awal perlu diambil untuk memastikan bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar bagi membendung peningkatan risiko yang mungkin timbul daripada kadar faedah terlalu rendah untuk tempoh masa lama.
Katanya, dengan ekonomi negara berada pada landasan pertumbuhan yang menggalakkan, MPC mengambil keputusan untuk mengembalikan dasar monetari ke paras yang wajar.
“Peningkatan ini seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh merentas rantau dan perdagangan global terus mencatat prestasi yang baik. Ringgit yang semakin kukuh berbanding pada tahun lalu akan mengurangkan kos import,” katanya.
SUMBER: UTUSAN ONLINE