SAUDIA Airlines Bawa Separuh Jemaah Haji Malaysia

         Saudi Airlines : Sumber Foto: Arab News


PENERBANGAN | SAUDIA Airlines (SAUDIA), syarikat penerbangan Arab Saudi menandatangani penerimaan tawaran penerbangan haji dengan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menyediakan penerbangan sewa khas haji bagi jemaah haji Malaysia selama tiga tahun.


BH ONLINE pada 25 Mac 2022 melaporkan penerimaan tawaran ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SAUDIA, Kapten Ibrahim Koshy manakala TH diwakili Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.


Majlis menandatangani diadakan di Jeddah Superdome, Arab Saudi dan disaksikan Ketua Pengarah SAUDIA, Ibrahim Al Omar sempena Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji serta Umrah anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.


Kapten Ibrahim berkata sebanyak 50 peratus jemaah haji akan diterbangkan terus secara berperingkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz Madinah.


"SAUDIA memberi perhatian besar terhadap sektor haji dan umrah di mana satu jabatan ditubuhkan bertujuan menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat jemaah Haji serta Umrah.


"Ia juga berperanan menarik kehadiran jemaah, memilih segmen permintaan perjalanan yang tinggi, bekerjasama dengan organisasi serta entiti luar negara yang mengendalikan urusan haji, umrah rakyat mereka, membuat jadual perjalanan dan menyelaras kelancaran pergerakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Saudi untuk kemudahan semua tetamu," katanya.


Beliau berkata, Saudia akan menggunakan pesawat Boeing B787-9 dengan kapasiti 298 tempat duduk bagi memastikan perkhidmatan serta pengalaman terbaik haji bermula sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam pesawat.


Sementara itu, Syed Saleh berkata TH adalah satu-satunya badan kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif serta sistematik demi keselesaan dan kebajikan jemaah Haji Malaysia.


"Tawaran kepada SAUDIA untuk menyediakan penerbangan sewa khas haji daripada tahun 2022 hingga tahun 2024 sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi.


"Penyediaan penerbangan sewa khas Haji ini adalah usaha berterusan TH dan adalah salah satu persediaan awal TH bagi membawa jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah luar negara untuk menunaikan ibadah Haji pada tahun ini," katanya.

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...