Harga Kereta CKD Naik 8% Hingga 10% Jika Duti Eksais Dilaksana Semula

Sumber Grafik : /www.thoughtworks.com


AUTOMOTIF | Harga kereta pemasangan tempatan (CKD) dijangka meningkat lapan hingga 20 peratus pada 2023 berdasarkan perkiraan nilai pasaran terbuka (OMV) duti eksais yang baharu, kata Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA)


BERNAMA pada 25 MAC 2022 melaporkan Datuk Aishah Ahmad berkata bagaimanapun pihak industri meminta kerajaan mengembalikan perkiraan lama bagi membendung kenaikan harga kereta CKD.


"Duti eksais itu ditangguhkan pada 2020 sehingga penghujung 2022, dan akan dijalankan semula bermula tahun hadapan.


"Kita (MAA) telah menghantar kertas cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk kembali kepada polisi yang lama di mana hanya kos item bukan pembuatan sahaja dimasukkan dalam pengiraan OMV, yang akan mengurangkan harga kenderaan itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan MAA pada 25 MAC 2022.


Beliau berkata OMV adalah nilai akhir pasaran yang ditetapkan bagi kenderaan CKD yang siap dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke atasnya.


Perkiraan baru duti eksais Malaysia disediakan oleh MOF semasa pentadbiran Pakatan Harapan dan telah diwartakan pada 31 Disember 2019. 


Sebelum ini BH Online pada 22 MAC 2022 melaporkan beberapa syarikat pengeluar kenderaan difahamkan sedang melobi kerajaan supaya melanjutkan lagi tempoh pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadual berakhir pada 30 Jun ini.


Penganalisis RHB Research, Jim Lim Khai Xhiang, berkata walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi separuh pertama 2022 berkemungkinan kekal kukuh, dipacu terutama oleh tempoh cuti SST dan tempahan tertunggak yang tinggi, prestasi pada separuh kedua tahun ini dijangka lebih lemah pasca pengecualian SST, khususnya pada Julai.


"Bagaimanapun, kami berpandangan bahawa satu lagi lanjutan mungkin tidak menjadi kenyataan, menyebabkan beberapa jenama utama akan menyerap SST atau memberikan promosi untuk meningkatkan jualan, dengan mengorbankan margin.


"Tambahan lagi, sekiranya bahan mentah yang lebih mahal diterjemahkan kepada harga lebih tinggi bagi bagi pelancaran akan datang, jumlah jualan berdepan risiko penurunan.


"Jika pengedar tidak memindahkan kos input lebih tinggi, margin akan berdepan tekanan penurunan," katanya dalam satu nota.


Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan TIV bagi Februari meningkat 7.7 peratus kepada 43,722 unit berbanding bulan sebelumnya.


Khai Xhiang berkata, peningkatan bulanan itu khususnya dipacu oleh jualan PROTON dan Honda, ketika kebanyakan jenama utama lain menyaksikan penuruan.


"Kami kekal berhati-hati pada separuh kedua 2022 memandangkan pengenaan semula SST dan kos bahan mentah lebih tinggi mendatangkan risiko terhadap TIV serta margin," katanya.


PROTON mencatatkan peningkatan bulanan 109 peratus TIV pada Februari, diikuti oleh Honda yang merekodkan kenaikan sebanyak 56 peratus.


Jualan Toyota dan Lexus susut sebanyak 15 peratus, berkemungkinan disebabkan oleh penurunan sebanyak 13 peratus pengeluaran Toyota.


Bagaimanapun, dalam kalangan jenama bukan nasional, Toyota terus menjadi pendahulu dengan 16.6 peratus penguasaan pasaran tempatan, manakala Honda ketinggalan di belakang pada 11.7 peratus.


Khai Xhiang berkata, peningkatan TIV pada Februari diterajui oleh PROTON, khususnya disebabkan oleh pemiulihan pengeluaran model Saga dan Exora di kilang Shah Alam pasca banjir.


"Perodua turut mencatatkan pemulihan kukuh, dipacu khususnya oleh model Axia dan Bezza," katanya.


TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...