PELUANG TERBAIK | Malaysia Airlines Tawar Diskaun Sehingga 45 Peratus

PENERBANGAN | PELANCONGAN | Malaysia Airlines Travel Fare (MATF) menawarkan potongan sehingga 45 peratus tambang ke destinasi domestik dan antarabangsa terpilih.


Ia turut menawarkan perkhidmatan dan pakej percutian berbaloi untuk wang, bermula 25 Mac hingga 4 April 2022, lapor BERNAMA pada 24 Mac 2022.


Malaysia Airlines Bhd berkata, pelanggan juga boleh menikmati diskaun manfaat perjalanan dengan potongan 25 peratus ke atas penambahan, termasuk pemilihan tempat duduk, bagasi tambahan dan pakej nilai.


Bagi destinasi domestik, tambang bermula serendah RM79 sehala ke destinasi dalam Semenanjung Malaysia menggunakan kelas ekonomi, manakala tambang kelas perniagaan bermula daripada RM379 sehala bagi penerbangan dalam Semenanjung Malaysia serta perjalanan antara Sabah dan Sarawak.


Bagi destinasi antarabangsa terpilih, Malaysia Airlines menawarkan tambang lebih rendah ke London, India, Singapura, Phnom Penh, Ho Chi Minh City, Manila, Colombo, Kathmandu, Perth, Brisbane, Adelaide, Sydney serta Melbourne.


Sebelum ini media melaporkan Malaysia Airlines sedang berusaha meningkatkan kekerapan penerbangan ke laluan utama Kuala Lumpur-London kepada 11 kali seminggu bermula 27 Mac 2022 dan kembali kepada perkhidmatan harian berganda penuh setiap hari mulai 1 Julai 2022 dan seterusnya.


Pada tarikh sama, syarikat penerbangan nasional itu berkata, ia mengembalikan perkhidmatan komersial berjadual ke India iaitu New Delhi, Bangalore, Mumbai, Chennai dan Hyderabad, selepas hampir 24 bulan digantung kerana penutupan sempadan kedua-dua negara.


"Mulai 1 April 2022, Malaysia Airlines meningkatkan kapasiti ke Bangkok daripada tujuh kali seminggu kepada 14 kali seminggu dan ke Phuket daripada sekali seminggu kepada tiga kali seminggu," katanya dalam kenyataan media pada 22 Mac 2022.


Ia berkata, ini selepas Thailand melonggarkan syarat kemasukan bagi pengembara antarabangsa yang mendapat vaksin sepenuhnya.


Selain itu, katanya, Malaysia Airlines mula terbang ke Bali dengan penerbangan sekali seminggu, bermula 11 Mac 2022.


"Pelanggan yang divaksin sepenuhnya yang melancong ke Singapura boleh terus menikmati skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, memberikan mereka kemudahan akses tanpa kuarantin," katanya.


Sementara itu, Malaysia Airlines berkata, penerbangan yang diadakan semula ke Australia baru-baru ini juga akan menyaksikan pertambahan kepada tujuh kali seminggu ke Sydney daripada lima kali seminggu dan lima kali seminggu ke Perth daripada dua kali seminggu berikutan permintaan yang stabil untuk perjalanan di rantau Australasia.


"Dengan Satellite Golden Lounge Malaysia Airlines akan dibuka sepenuhnya tidak lama lagi, pelanggan boleh menjangkakan hidangan gaya bufet yang diadakan semula, menawarkan kemudahan untuk tetamu melihat dan menikmati pelbagai hidangan tempatan dan barat sebelum penerbangan mereka.


"Semua ruang istirahat syarikat penerbangan mematuhi langkah-langkah kesihatan dan keselamatan yang ketat, penggunaan wajib topeng muka dan sarung tangan pakai buang di kawasan bufet dan sanitasi biasa di kawasan umum," katanya.




TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...