McDonald's Tawar 3 Juta Kopi Americano Percuma Individu Lengkap Vaksin


    Foto Sumber: Tangkap Layar Facebook McDonald's


McDonald's Malaysia menawarkan tiga juta cawan kopi Americano percuma kepada individu yang sudah divaksinasi bagi menyebarkan semangat positif sempena Bulan Kopi Antarabangsa sepanjang Oktober ini.

McDonalds's Malaysia dalam kenyataan media pada 8 Oktober 2021/Jumaat memaklumkan baucar untuk McCafé Americano diagihkan kepada individu yang menerima vaksin di 75 pusat pemberian vaksin terpilih di seluruh negara mulai September 2021 dan minuman itu boleh ditebus dengan mana-mana pembelian produk McDonald's sehingga 31 Disember 2021.

Restoran khidmat segera itu juga memperkenalkan 3.5 juta cawan eksklusif #KitaBoleh untuk McCafé di seluruh negara bagi menceriakan rakyat Malaysia dan mengingatkan mereka agar terus bersama-sama berdiri teguh dalam susah dan senang.

"Cawan McCafé dengan mesej semangat #KitaBoleh, boleh didapati sempena Bulan Kopi Antarabangsa pada bulan ini sebagai peringatan kepada rakyat Malaysia untuk terus menjalani kehidupan dan menikmati kopi kegemaran mereka," kata kenyataan itu.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia berkata pemberian baucar percuma McCafé Americano sebagai tanda terima kasih kepada rakyat yang menjalankan tanggungjawab dengan mendapatkan vaksinasi COVID-19.

"Kami komited untuk menyokong masyarakat dengan apa jua cara dan salah satunya adalah melalui minuman kopi yang sememangnya menjadi kegemaran pelanggan," kata Azmir Jaafar.

Untuk terus memberikan keseronokan kepada rakyat Malaysia, McDonald's juga memaklumkan bahawa pelanggan hanya perlu membayar RM1 untuk menukar minuman mereka kepada Iced Latte dengan setiap pembelian McValue Meal.

Selain itu, McDonald's Malaysia menawarkan promosi McCafé tambahan di aplikasi McDonald's sepanjang Oktober termasuk RM1.99 untuk Iced Latte bersaiz medium, diskaun 50 peratus untuk minuman terpilih McCafé dan tawaran istimewa untuk kek McCafé terpilih.

Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran menarik McCafé sepanjang Oktober ini, pelanggan boleh melayari www.mcdonalds.com.my/promotion atau ke aplikasi McDonald's yang boleh dimuat turun di Google Play atau Apple Store.

Sepanjang 39 tahun McDonald's di Malaysia, ia memberi perkhidmatan kepada lebih 13.5 juta pelanggan sebulan di lebih 300 restoran di seluruh negara dan mempunyai lebih 14,000 kakitangan di semua rangkaian restorannya.


TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...