NEWS | ECONOMY | LAWS | MILITARY | TECHNOLOGY| INVESTMENT | GADGET | INNOVATION | FUTURISTIC | TIPS | TRAVEL | INSURANCE | IT | IOT
Besar Ganjaran Menanti 10 Malam Pertama Zulhijjah...Beruntunglah Siapa Yang Merebut Peluang Ini
Oleh: DR. NUR MOHAMMAD HADI ZAHALAN
BULAN Zulhijjah yang disamput pada kali ini sedikit berbeza berbanding tahun-tahun terdahulu kerana kebiasaannya jemaah haji sudah berpusu-pusu ke Makkkah.
Bagaimanapun pada tahun ini kerajaan telah menangguhkan untuk umat Islam menunaikan ibadah tersebut akibat penularan Covid-19.
Walaubagaimanapun kita sebagai umat Islam mesti dan wajib beriman kepada qada dan qadar Allah.
Bulan Zulhijjah merupakan bulan yang penuh dengan kelebihan bagi sesiapa yang beramal dalam bulan tersebut khususnya pada 1 sehingga 10 Zulhijjah.
Firman Allah di dalam Surah Al-Fajr ayat ke 2: Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).
Ibnu Kathir menyebut mengenai malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam yang pertama pada Bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya.
Ambil kesempatan ini untuk meningkatkan ketakqawaan kepada Allah dengan melipatkan gandakan amalan di 10 malam pertama Zulhijjah.
Ini disokong oleh hadis Baginda Rasulullah. Sabda Baginda Nabi: "Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah)." Mereka berkata; Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan Allah melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun. - [HR Bukhari 969].
Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, antara sebab istimewanya sepuluh hari Zulhijah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu, solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.
Di sana terdapat banyak amalan yang boleh dilakukan untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah. Maka rugilah bagi mereka yang mendapat peluang keemasan ini tetapi mensia-siakannya dengan pelbagai alasan. Antara amalan yang boleh dilakukan adalah;
Berpuaslah pada sepuluh hari terawal Zulhijjah kerana Allah ia merupakan ibadah agung.
1. Puasa
Puasa merupakan ibadah yang agung. Ini kerana hanya puasa yang Allah janjikan akan dilipat ganda ganjarannya bagi mereka yang sentiasa mengerjakan ibadah tersebut. Oleh itu menjadi satu sunnah Baginda Rasulullah berpuasa pada sepuluh hari terawal Bulan Zulhijjah.
Dari Hafshah dia berkata: Empat perkara yang tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah: Puasa 'Asyura, puasa sepuluh hari (di Bulan Zulhijjah), puasa tiga hari dalam setiap bulan dan dua rakaat sebelum Subuh. - [HR An-Nasai 2373]
Perbanyakanlah tahlil, takbir, dan tahmid pada-Nya.
2. Takbir, Tahlil dan Tahmid
Memuji Allah pada hari-hari yang sangat dicintai Allah adalah satu amalan yang sangat baik. Segala bentuk amalan yang mengingatkan kita kepada Allah merupakan satu amalan yang sangat dituntut lebih-lebih lagi dengan kita perbanyakan takbir, tahlil dan tahmid.
Ini kerana berdasarkan hadis Baginda Rasulullah: Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, perbanyakanlah tahlil, takbir, dan tahmid pada-Nya. - [HR Ahmad 6154].
Berkorban merupakan salah satu ibadah yang agung sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim kepada anaknya Nabi Ismail bagi memenuhi perintah Allah.
3. Melakukan ibadah korban
Kebanyakan orang Islam lupa akan kelebihan ini iaitu melakukan ibadah korban. Berkorban merupakan salah satu ibadah yang agung sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim kepada anaknya Nabi Ismail bagi memenuhi perintah Allah.
Dalam sebuah hadis Sabda Baginda Rasulullah: Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari Al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban). - [HR Tirmizi 1493].
Maka setiap muslim hendaklah menyambut kedatangan musim kebajikan umumnya dengan bertaubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat kerana dosalah yang menyekat manusia daripada kebaikan dan menjauhkannya dari Tuhannya.
Kita juga perlu menanam semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Firman Allah di dalam Surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik.
Oleh yang demikian keistimewaan yang Allah kurniakan kepada kita pada hari ini marilah sama-sama kita usaha melaksanakannya agar kita sentiasa menjadi hamba Allah yang bersyukur. Lakukan mana-mana amal kebaikan walaupun sedikit asalkan kita tidak terlepas peluang yang ada.
Disamping kita mengerjakan ibadah sunnah, kita juga wajib memperbaiki semua amalan-amalan fardu yang dituntut kepada kita untuk dilaksanakan. Cuba kita lihat bagaimana pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup berkorban demi melaksanakan perintah Allah walaupun terpaksa mengorbankan nyawa.
Seperti mana pesanan nabi SAW ketika Baginda memberikan khutbah yang terakhir pada Hari Jumaat, 9 Zulhijjah di tahun 10 hijrah.
Baginda Rasulullah ketika itu berwukuf bersama 144,000 orang Islam di padang Arafah. Baginda telah menyampaikan suatu amanat yang mengandungi pengajaran dalam kehidupan masyarakat Islam.
Antara pesanan Rasulullah ialah: Hendaklah kamu mengabdikan diri kepada Allah, Tuhan kamu, dirikanlah solat lima waktu yang difardukan itu, kerjakanlah puasa sebulan Ramadan, keluarkanlah zakat harta kamu dengan rasa reda daripada hati sanubarimu, tunaikanlah ibadah haji di Baitullah, taatilah pemerintah dan pemimpin kamu, nescaya kamu akan memasuki syurga Tuhanmu.
Mudah-mudahan dengan hadirnya Zulhijjah pada kali ini akan dapat mengubah kita menjadi lebih baik berbanding kita sebelum ini.
Ingat, jika kita sayang Allah dan nabi kita dengan menurut perintah yang diturunkan, nescaya Allah akan lebih mencintai dan menyayangi kita.
***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook
TERKINI
Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?
Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...
-
(1) BISMILLAH (Dengan Nama Allah) Barangsiapa membaca sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, nescaya terpelihara dari godaan dan gang...
-
Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Pengasas Institute For Future Research, Tezla Madani Resources & Tezla Resources Pendahuluan Pendidi...
-
Sumber Foto: Mohd Ezli Mashut/11.00 Pagi/14 Jun 2023 OLEH : MOHD EZLI MASHUT Pada 16 April 2022 tular di media sosial pesawat terbang dikata...