Foto: ANADOLU NEWS AGENCY |
Masjid Hagia Sophia pada 24 Julai 2020 pada Jumaat dibanjiri penduduk yang berkumpul di dalam dan luar bangunan yang diisytiharkan tapak warisan dunia UNESCO dengan sebahagiannya mengibarkan bendera negara itu dan kain rentang Islamik.
Menurut Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, kira-kira 350,000 jemaah yang berhimpun di situ, namun sukar untuk mengesahkan angka sebenar.
Difahamkan, umat Islam yang ingin melaksanakan solat Jumaat di masjid itu berkumpul lebih awal sejak malam sebelumnya.
Ketua Direktorat Hal Ehwal Agama Turki, Ali Erbas ketika menyampaikan khutbah berkata, pembukaan semula masjid itu diibaratkan kepulangan semula tempat suci umat Islam itu kepada fungsi asalnya.
Era Baharu Hagia Sophia
Monumen ikonik itu berfungsi sebagai gereja selama 916 tahun sehingga penaklukan Istanbul, dan sebuah masjid dari tahun 1453 hingga 1934 - hampir 500 tahun - dan terakhir sebagai muzium selama 86 tahun.
Salah satu bangunan bersejarah di Turki paling banyak dikunjungi pelancong tempatan dan antarbangsa, pada 1985, semasa dijadikan muzium, Hagia Sophia dimasukkan dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO.
Pada 10 Julai, sebuah mahkamah Turki membatalkan keputusan Kabinet 1934 yang menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium, membuka jalan untuk ia digunakan kembali sebagai masjid selepas 86 tahun.
Di era baru Hagia Sophia, Pengarah Hal Ehwal Agama Turki akan memantau perkhidmatan keagamaan di masjid, sementara Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan pula mengawasi kerja-kerja pemulihan serta pemuliharaan.
Khazanah seni bina itu juga dibuka untuk pelancong domestik dan luar secara percuma.
Pada Khamis, pihak berkuasa tertinggi agama Turki melantik tiga imam dan lima muazin untuk Masjid Hagia Sophia.
Ketua Hal Ehwal Agama Turki (Diyanet) Ali Erbas berkata Mehmet Boynukalin, Ferruh Mustuer, dan Bunyamin Topcuoglu dilantik sebagai imam masjid.
Boynukalin adalah seorang profesor di Jabatan Sains Agama Universiti Marmara.
Menurut Erbas, mereka melantik ulama terkenal sebagai imam sesuai dengan tradisi Uthmaniyyah.
TURKISH PRESIDENT OFFICE/AFP |
Selain itu Mustuer dan Topcuoglu telah memenangi pertandingan membaca al-Quran antarabangsa.
Ketika solat berlangsung, lukisan, gambar, dan mozek akan ditutup dengan tirai dan dibuka semula selepas selesai.
===================================================
Alhamdulillah...kita diberi peluang untuk menyaksikan detik penting dan bersejarah ummah.
Semoga kita semua juga diberikan kesempatan untuk melihat dan bersama-sama dalam meraikan kejayaan pembebasan Masjid Al-Aqsa.
Sumber Berita/ Foto: Anadolu News Agency, AFP