Maybank Tersenarai 500 Jenama Paling Bernilai Global

Foto Sumber: The Edge Markets

Malayan Banking Bhd (Maybank) tersenarai antara 500 jenama terbaik dunia buat julung kalinya oleh Brand Finance’s Global 500 Brands.

Dalam kenyataan hari ini,  Maybank berkata ia ada adalah satu-satunya bank Malaysia dan satu daripada dua jenama Malaysia disenaraikan dalam senarai global itu.

 Bank itu berkata ia telah mencapai penilaian jenama US$4.2 bilion (US$1=RM4.11), meningkat 32 peratus daripada penilaian tahun lepas US$3.16 bilion.

Maybank juga mengekalkan kedudukannya sebagai jenama bank terbaik di Malaysia bagi lima tahun berturut-turut, dengan penarafan  AAA- sebelum ini dinaikkan kepada AAA, dan turut mencatatkan peningkatan dalam Indeks Kekukuhan Jenama (BSI) kepada 86/100 tahun ini daripada 82/100 sebelumnya.

BSI adalah pemacu utama bagi penilaian jenama dan menentukan kekukuhan sesuatu jenama.

Katanya prestasi kukuh itu turut dicatatkan di peringkat global berikutan Maybank adalah antara lapan jenama di ASEAN yang disenaraikan dalam penarafan global, menduduki tempat ke-494 dalam senarai 500 jenama paling bernilai.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Abdul Farid Alias berkata pengiktirafan itu mencerminkan usaha berterusan Maybank dalam membina hubungan lebih rapat dengan pihak berkepentingan dan menumpukan dalam penyampaian nilai secara konsisten menerusi semua produk dan perkhidmatanya.

“Pastinya ia satu penghargaan untuk Maybank disenaraikan antara jenama terbaik dunia ketika ini. Kami percaya ia turut membuktikan bagaimana jenama tempatan dari Malaysia menentukan standard baharu dan meningkatkan tahapnya di pentas dunia dengan sokongan daripada semua pemegang sahamnya,” katanya.

 Abdul Farid berkata bank akan terus memperkukuh kedudukan jenamanya meliputi  semua saluran pendampingan, dan turut menumpukan untuk menyediakan pengalaman pengguna generasi akan datang, berikutan kepesatan teknologi telah mempengaruhi gaya hidup dan cara orang ramai berurusan dalam perbankan ketika ini.

 Brand Finance dalam kaji selidik tahunannya, membuat pernilaian terhadap ribuan jenama syarikat terbesar dunia. Hasil analisis itu kemudiannya diberikan penarafan dalam 500 jenama paling bernilai dunia yang disenaraikan dalam laporan Brand Finance Global 500.

SUMBER: BERNAMA

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...