CUACA EKSTREM: Fenomena Vorteks Kutub -48C Landa Amerika Syarikat

Sistem amaran cuaca vorteks kutub dijangka menghantar angin dingin mencengkam tulang yang beredar di sekitar Kutub Utara merentasi majoriti bandar di AS dari Dakota sehinggalah New England. -Foto Agensi


ILLINOIS: Gabenor bandar ini mengeluarkan satu pelan kesediaan kecemasan sebelum satu vorteks kutub ‘bersejarah’ membawa angin dan udara sejuk ke sebahagian besar kawasan di Amerika Syarikat (AS) hari ini, memberi amaran suhu menurun jauh di bawah paras beku.

Gabenor J.B. Pritzker berkata, angin sejuk mungkin menjurus suhu menjunam ke paras 48 darjah Celsius di bawah takat beku (-48C) di utara negeri ini malam ini, berupaya menyebabkan reput fros dalam tempoh beberapa minit.

“Ini adalah ribut salji berpotensi mencatat sejarah yang akan membawa cuaca sejuk melampau ke negeri kita dan semua penduduk Illinois perlu bersedia.

“Pentadbiran kami sudah menyediakan Pelan Kesediaan Kecemasan bersama agensi penting negeri serta memberi amaran kepada penduduk mengenai keadaan mengancam nyawa ini,” kata Pritzker dalam kenyataan dikeluarkan pejabatnya.

Sistem amaran cuaca vorteks kutub dijangka menghantar angin dingin mencengkam tulang yang beredar di sekitar Kutub Utara merentasi majoriti bandar di AS dari Dakota sehinggalah New England, kata pakar kaji cuaca Perkhidmatan Kajicuaca Nasional, Brian Hurley.

“Jika anda tinggal di Bulatan Artik, ini adalah keadaan biasa. Namun apabila ia berlaku di sini, anda tahu ia sesuatu yang serius,” kata Hurley.

Ribut salji diramalkan berlaku di seluruh bahagian barat Lembah Ohio dan salji dijangka turun sehingga esok (Rabu) dari rantau Great Lakes sehingga New England.

Salji juga dijangka turun di Dakota, Minneapolis dan St. Paul, Minnesota; manakala di Tengah Michigan, salji setebal 30 sentimeter (sm) atau lebih banyak dijangka, kata perkhidmatan itu.

Chicago akan menerima kesan paling teruk cuaca amat sejuk dengan salji tebal di banyak kawasan sudah menjejaskan bandar itu semalam, kata perkhidmatan kaji cuaca di Twitter.

Angin sejuk serendah 46 darjah Celsius bawah takat beku (-46C) dijangka berlaku malam ini (Selasa) sehingga pagi Khamis.

Cawangan perkhidmatan itu di Des Moines, Iowa berkata, ‘udara sejuk berbahaya, mengancam nyawa’ akan melanda negeri utara tengah AS bermula hari ini sehingga pagi Jumaat dengan angin sejuk pada Rabu mencatat 43 darjah Celsius bawah takat beku (-45C) sehingga 48 darjah Celsius bawah takat beku (-48C) di seluruh kawasan utara negeri itu.

Hampir 2,300 penerbangan AS dibatalkan dan tambahan 11,800 dilewatkan malam semalam, majoriti berpunca daripada ribut.

SUMBER: REUTERS

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...