Foto Sumber: Flickr |
DUNIA PENERBANGAN: SEPANG: AirAsia berkata, ia mengalu-alukan cadangan pembangunan terminal penerbangan tambang murah (LCCT) di Sepang daripada mana-mana pihak, sama ada tempatan atau asing.
Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun, berkata mana-mana pihak, sama ada individu, kerajaan negeri malah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), boleh mengemukakan cadangan.
"Sebagai penyokong kuat LCCT, syarikat penerbangan ini akan bekerja dengan mana-mana pihak yang boleh membina terminal tambang murah untuk mereka," katanya.
"AirAsia semacam sudah berputus asa untuk memiliki lapangan terbang. Syarikat penerbangan ini sudah berpindah ke empat lapangan terbang sejak AirAsia memulakan operasi, dan ia tidak seperti berpindah rumah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penajaan bersama AirAsia-Alisports ASEAN World Electronic Sports Games di ibu pejabat AirAsia di sini, 29 JUN 2018.
Kamarudin diminta mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, semalam yang mana sebarang cadangan untuk membangunkan terminal penerbangan tambang murah bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur perlu mengemukakannya semula sebagai cadangan baharu kerana cadangan sebelum ini yang dikemukakan tahun lepas adalah kepada kerajaan terdahulu.
Menurut laporan media, Citaglobal Airports Sdn Bhd, melalui Pengarahnya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, mencadangkan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, melalui surat bertarikh 24 November, 2017, pembinaan LCCT baharu yang boleh memuatkan lebih ramai bilangan penumpang, terutama dengan kewujudan Zon Perdagangan Bebas Digital.
Pada 2014, AirAsia memindahkan operasinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dari LCCT di Sepang selepas lapan tahun beroperasi di sana.
SUMBER: BERNAMA