Photo by: Rojak Daily |
INFO MAKANAN: Nestle Malaysia menyangkal dakwaan produk Milonya mengandungi kadar gula yang tinggi jika pengguna mengambil minuman itu mengikut cadangan hidangan, kandungan gula hanya sekitar enam peratus.
Agensi Berita BERNAMA melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Halal syarikat Othman Md Yusoff, berkata kandungan 40 peratus gula (setiap hidangan) yang dimaksudkan itu merujuk kepada serbuk yang belum dibancuh dengan air dengan Milo yang dibancuh hanya mengandungi sekitar enam peratus gula sahaja.
"Daripada enam peratus itu pula hanya tiga peratus sahaja gula yang ditambah manakala lagi tiga peratus adalah gula semula jadi daripada kandungan susu (laktosa) yang terdapat dalam serbuk Milo itu," katanya pada sidang media pada 6 Februari.
Beliau berkata sekiranya pengguna menyediakan minuman itu mengikut sukatan seperti yang dicadangkan pada bungkusan Milo iaitu lima sudu dicampur dengan 200 mililiter air maka minuman berkenaan tidak akan mengandungi kadar gula berlebihan.
Masalah timbul apabila pengguna tidak mengikut cadangan sukatan hidangan dengan menambahkan gula atau susu pekat dalam minuman itu, katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas video seorang aktivis media sosial yang tular baru-baru ini mendakwa kononnya produk Milo mengandungi kadar gula terlalu tinggi iaitu sebanyak 40 peratus bagi setiap hidangan
'Jangan Tambah Susu, Gula'
Sementara itu MALAYSIAKINI melaporkan Othman turut memberitahu, minuman Milo hanya menjadi tidak sihat apabila ia ditambah dengan susu dan gula.
Justeru beliau meminta agar orang ramai menyediakan minuman Milo seperti panduan yang tertulis pada bungkusan minuman itu.
"Dekat bungkusan kita ada tulis penyediaan Milo iaitu lima sudu teh Milo dan kemudian tambah 200 mililiter air panas.
"Tapi orang kita tambah susu, gula. Itu yang jadi tak sihat," katanya lagi.
Tak Sama Dengan Milo Australia
Sementara itu, ditanya mengenai perbezaan kandungan gula Milo di luar negara dan di Malaysia, Pegawai Kanan Pemakanan Unit Kesihatan Korporat Nestle, Nurul Iliani Ahmad memberitahu ia dibuat berdasarkan populasi penduduk di setiap negara.
"Kita ikut populasi di setiap negara. Macam di Malaysia kita ikut selera penduduk di negara ini dan seperti di Australia, Milo mereka mengikut selera negara sana.
"Jadi formulasi bagi setiap kandungan Milo berbeza-beza mengikut negara yang diedarkan," katanya.
SUMBER: BERNAMA/MALAYSIAKINI