AirAsia: Imbas Muka Di LTA Senai, Air AsiaX Ke Jaipur


Photo by: FMT NEWS


DUNIA PENERBANGAN/ TRAVEL: Semakin maju dan mudah, Syarikat Penerbangan Tambang Rendah AirAsia memperkenalkan teknologi canggih untuk penumpang yang dikenali sebagai Sistem Pelepasan Pantas Lapangan Terbang (Faces).

Jika sebelum ini sistem pengimbas wajah diaplikasikan pada telefon pintar, kini sebagai permulaan ia dilengkapkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini bagi memudahkan proses daftar masuk penumpang.

Faces adalah sistem daftar masuk layan diri pertama di Asia yang menggunakan teknologi pengecaman wajah.

Ia membolehkan penumpang menaiki penerbangan tanpa mengemukakan sebarang dokumen perjalanan selepas mendaftar di pintu pelepasan sendiri.

Ia antara usaha terbaharu syarikat itu dalam memberikan pengalaman perjalanan menyeronokkan melalui inovasi digital.

Proses sebelum penerbangan di lapangan terbang ada kalanya menyulitkan. Menerusi FACES, ia dapat menjadikan pengalaman sebelum penerbangan lebih lancar menggunakan teknologi biometrik yang canggih untuk mengesahkan identiti bakal penumpang.

Dengan pengenalan sistem biometrik seperti ini, prosedur untuk daftar masuk bagasi, serta pintu menaiki pesawat dapat dijalankan dengan lebih efisien dan pantas.

Kos sebanyak RM300,000 digunakan bagi membangunkan sistem itu dan sudah melalui tempoh percubaan sejak awal bulan lalu.

Sistem ini digunakan sejak bulan lalu bagi laluan domestik terlebih dahulu dan hingga kini lebih 3,000 orang menggunakan sistem berkenaan.

AirAsia X Lancar Perkhidmatan Ke Jaipur India

Sementara itu, AirAsia X telah melancarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Jaipur, ibu negeri Rajasthan di India, dengan penerbangan pertamanya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jaipur 5 Januari 2018.

Syarikat penerbangan itu dalam satu pada 6 Januari 2018, berkata ia akan terbang sebanyak empat kali seminggu bagi memudahkan penduduk di barat laut India itu memasuki Asia Tenggara.

"Jaipur adalah destinasi pelancongan yang penting dan ia merupakan sebahagian daripada 'Segitiga Emas' yang merangkumi Delhi dan Agra," katanya.

Pengerusi Eksekutif AirAsia Bhd/ Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun, berkata perkhidmatan baharu itu adalah sebahagian daripada matlamat syarikat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi sambungan serantau kepada bandar-bandar peringkat pertengahan di India.

"Melalui tambahan dalam operasi penerbangan dari lapangan-lapangan terbang di bandar-bandar peringkat 2 dan peringkat 3, kesalinghubungan serantau India akan dipertingkatkan, dan kami menjangkakan laluan baharu ini bakal menjadi pemangkin pertumbuhan penumpang antara Malaysia, India dan rantau ini.

"AirAsia dan AirAsia X Malaysia sekarang terbang ke 19 bandar di India dan kumpulan telah membawa lebih daripada 16 juta penumpang di India sejak 2010," katanya.

Berikutan pelancaran perkhidmatan terus antara Kuala Lumpur-New Delhi pada Februari 2016, AirAsia X Malaysia telah menerbangkan 184,482 penumpang sehingga Disember tahun lepas.

Kamarudin berkata, India merupakan salah satu daripada pasaran pertumbuhan utama syarikat penerbangan itu.

"Dengan penerbangan ke Jaipur, kami kini terbang ke dua destinasi di kawasan Segitiga Emas yang terkenal di dunia, tambahan kepada perkhidmatan Delhi kami yang sudah sedia ada.

"Laluan baharu ini telah membawa jumlah penerbangan mingguan ke India oleh Kumpulan AirAsia kepada 110, dengan kapasiti tempat duduk sebanyak 22,755," katanya.

SUMBER: BERNAMA/ MSTAR

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...