PIDM: Tahap Kefahaman Perlindungan Simpanan Dan Insurans Masih Rendah

PIDM


INFO: Tahap kesedaran orang ramai terhadap perlindungan takaful dan insurans diperuntukkan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) di bawah Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insuran didapati masih rendah.

BERNAMA melaporkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rafiz Azuan Abdullah berkata berdasarkan kajian tahun lepas hanya 62 peratus orang ramai di negara ini yang sedar mengenai perlindungan takaful dan insurans yang diberikan oleh PIDM walaupun pelbagai usaha penerangan dilaksanakan.

"Kesedaran itu pun kerana mereka mengenali PIDM berdasarkan logo dan jenama PIDM yang sering dilihat di bank-bank.

"Apa yang kami mahukan supaya orang ramai mengetahui mengenai PIDM dengan lebih mendalam dengan harapan apabila berlaku sesuatu perkara di kemudian hari, mereka tahu cara bagi menanganinya," katanya kepada media ketika ditemui di majlis "PIDM KL Sentral Community Outreach', di sini, hari ini.

Menurutnya sehubungan itu PIDM akan mempertingkatkan usaha kesedaran dan promosi dalam kalangan orang ramai dan yakin masih ada ruang untuk meningkatkan tahap kesedaran sedia ada.

Selain itu Rafiz turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan skim kewangan yang meragukan yang didapati semakin berleluasa semata-mata bagi memperdaya orang ramai.

Beliau turut menasihati orang ramai yang berhasrat untuk menyertai sebarang skim kewangan yang ditawarkan oleh mana-mana pihak supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa bagi pengesahan sebelum menyertainya.

Sementara itu, PIDM menjemput orang ramai hadir ke program komuniti anjurannya yang berlangsung di NU Sentral, di sini, bermula hari ini selama tiga hari.

Program itu yang menampilkan pelbagai aktiviti untuk keluarga turut menawarkan pelbagai hadiah kepada pengunjung yang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti.

PIDM yang ditubuhkan pada 2005 di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Akta PIDM) adalah sebagai sebahagian daripada jaringan keselamatan kewangan Malaysia yang diberi mandat untuk melindungi kepentingan pendeposit dan pemilik sijil takaful dan polisi insurans terhadap kegagalan mana-mana institusi ahli PIDM.

Badan berkanun itu juga bertindak melindungi pendeposit daripada kehilangan deposit yang diinsuranskan yang disimpan di bank-bank ahli.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung PIDM boleh menghubungi talian 1-800-88-1266 atau melayari laman web www.pidm.gov.my.

SUMBER: BERNAMA

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...