GAMBAR OLEH: Daily Mirror |
GLOBAL: Sekumpulan saintis Australia yang terbabit dalam operasi terbaharu mencari kapal terbang Malaysia Airlines (MAS) MH370 berharap menemui pesawat tersebut dalam tempoh beberapa minggu di selatan Lautan Hindi.
Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan kapal pencarian berteknologi tinggi, Seabed Constructor diberi tanggungjawab mencari pesawat Boeing 777 dengan 239 penumpang yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Usaha terbaharu itu dikendalikan oleh firma swasta penerokaan dasar laut, Ocean Infinity yang berhasrat untuk menamatkan kisah penerbangan yang paling mencetuskan misteri di dunia sehingga hari ini.
“Kami berharap mereka dapat menemui pesawat berkenaan dalam bulan pertama pencarian itu. Malaysia memberikan mereka tempoh selama tiga bulan untuk menyempurnakan pencarian itu.
“Kami kini berada pada minggu pertama. Kita berharap menerima berita baik dalam beberapa minggu atau dalam 90 hari tetapi jangan menganggap ia misi yang mudah,” kata pakar oseanografi Australia daripada Pertubuhan Kajian Saintifik dan Industri Komanwel, David Griffin.
Firma dari Amerika Syarikat itu hanya dibayar sekiranya berjaya menemui bangkai atau kotak hitam pesawat MH370.
Kerajaan Malaysia telah menawarkan ganjaran sebanyak AS$70 juta (RM273 juta) jika mereka berjaya menemui pesawat berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan itu.
Operasi pencarian di zon baharu itu dijalankan berdasarkan analisis dan bukti kukuh bagi merungkai misteri nahas kapal itu sejak empat tahun lalu.
Zon baharu itu ditetapkan berdasarkan empat imej satelit Perancis selepas dua minggu nahas pesawat MH370 yang turut menunjukkan sekurang-kurangnya 70 objek terapung di laut.
“Kami lihat semua itu merupakan objek besar berwarna putih dan sebahagiannya bersaiz 40 meter persegi di sebuah lokasi pada kedudukan koordinat 35.6S 92.8E,” katanya.
Kapal Seabed Constructor yang membawa lapan dron autonomi dilengkapi dengan sonar dan kamera dikatakan mampu melakukan penerokaan sedalam 6,000 meter.
SUMBER: AFP