PHOTO: NASA |
INOVASI: Impian masyarakat dunia untuk meneroka angkasa lepas di masa hadapan sebagai pelancong angkasa semakin menjadi realiti dalam tempoh terdekat.
Jika dahulu untuk meneroka ke angkasa lepas hanya dikendalikan agensi angkasa lepas yang menelan belanja berbilion RM namun usaha kini digerakkan syarikat yang mahu menyediakan perkhidmatan membawa manusia ke angkasa lepas.
Firma swasta antarabangsa kini berlumba-lumba menyediakan perkhidmatan terbaik kepada mana-mana individu berkemampuan yang mahu merasai pengalaman melancong ke angkasa lepas dengan menaiki pesawat komersial yang berkelajuan seperti roket.
Pada 11 Januari 2018, Syarikat Virgin Galactic berjaya menyempurnakan ujian penerbangan kapal angkasa VSS Unity, sekali gus meletakkan syarikat berkenaan di landasan tepat untuk meneruskan misi menghantar pelancong ke angkasa.
Setakat ini, lebih 700 hartawan termasuk selebriti terkenal, Brad Pitt dan Katy Perry telah menempah kerusi berharga hampir AS$250,000 (RM992,562) untuk menikmati perjalanan ke angkasa yang ditawarkan syarikat itu.
Portal Mail Online melaporkan, ujian berkenaan dijalankan itu menyaksikan kapal angkasa itu mendarat dengan selamat daripada altitud hampir 15,000 meter.
“Sudah beberapa bulan sejak penerbangan terakhir kami, di mana kami bekerja melalui tempoh masa yang dirancang.
“Ini melibatkan analisis yang luas, pengujian dan pengubahsuaian kecil untuk memastikan kesediaan kenderaan untuk memikul beban serta daya kuasa yang lebih tinggi,” kata jurucakap Virgin Galactic.
Semasa ujian penerbangan tersebut, kapal angkasa VSS Unity melepaskan 450 liter air, selain melakukan simulasi peralihan berat yang biasanya disebabkan oleh bahan bakar roket.
Tidak seperti syarikat-syarikat angkasa lepas komersial lain, seperti SpaceX dan Blue Origin, Virgin Galactic memulakan penerbangannya tanpa menggunakan pelancaran roket yang biasa dilakukan.
Syarikat itu, sebaliknya melancarkan VSS Unity dan kapal lain dari pesawat penerbangan yang dikenali sebagai VMS Eve.
Pengasas syarikat berkenaan, Richard Branson berkata, pihaknya yakin kapal angkasa VSS Unity bersedia membawa pelancong menyertai ujian penerbangan suborbital menjelang April 2018 ini.
SUMBER: THE MAIL ONLINE/ NASA