Ini Sebabnya Kenapa Kedai Makcik Seringgit Diserbu Pelajar

Pengusaha nasi bajet Noor Haliza Mohd Hashim,44, menunjukkan nasi bajet yang menjadi menu pilihan para pelanggannya di kedai Makcik Seringgit di Jalan Pondok Labu di Kulim. - Foto BERNAMA


DIOLAH OLEH: MOHD EZLI MASHUT

BISNES: MATLAMAT dalam perniagaan adalah mencapai keuntungan dengan kos paling minimum. Namun dalam strategi perniagaan matlamat mendapatkan keuntungan besar dan margin tinggi tinggi pada waktu singkat bukan strategi berkesan.

Malahan banyak kali dibuktikan menjual produk atau barangan pada keuntungan margin rendah boleh berjaya kerana ia mengambil kira faktor kuantiti barangan dan produk dijual pada suatu masa. 

Apa yang penting dalam menjalankan perniagaan adalah keberkatan dalam usaha dijalankan serta menyenangkan dan pada masa sama membantu orang lain.

KISAH KEDAI MAKCIK SERINGGIT DISERBU PELAJAR

BERNAMA pada 9 Januari 2018 melaporkan sepasang suami isteri di Kulim mengambil inisiatif menjual nasi bajet bagi  membantu pelajar menikmati hidangan lazat pada harga murah.

Terkenal dengan jolokan Kedai Makcik Seringgit, Noor Haliza Mohd Hashim, 44, dan suaminya, Mohamad Rozi Ishak, 48, beroperasi sejak enam tahun lalu di Jalan Pondok Labu di Kulim

"Tarikan utama adalah harganya iaitu nasi set bajet berharga serendah RM2 dan air hanya RM1 dan saya jual sebab kasihan kepada pelajar yang tak ada bajet besar untuk makan," katanya kepada Bernama.

Katanya, bagi set nasi bajet, pelanggan boleh memilih beberapa jenis lauk seperti ikan sardin, telur goreng atau rebus, sosej atau kepingan daging dan sayuran.

"Pelanggan boleh pilih satu daripada lauk ini dan sayuran yang disukai dengan harga RM2.

"Air pula, semua jenis air yang dibancuh termasuk Milo ais, teh ais, Horlicks ais dan ia hanya RM1 kecuali minuman yang di paket," katanya.

Noor Haliza menambah, kedainya mula beroperasi pada 7 pagi sehingga 7 malam.

"Waktu puncak pada tengah hari dan ketika ini pelajar paling ramai dan memang mereka akan pesan nasi bajet untuk makan tengah hari," katanya.

Selain itu, ramai pengunjung yang singgah ke kedainya untuk membeli air bungkus.

Katanya, kadang-kadang pelanggan memesan sehingga 20 bungkus air dan ada antaranya yang datang semata-mata mahu membeli air RM1.

UNTUNG SEBENARNYA JUAL PADA HARGA BERPATUTAN

Noor Haliza berkata, harga itu langsung tidak merugikan perniagaannya, malah menjadi tarikan ramai orang sehingga sentiasa dikunjungi setiap masa.

"Tak rugi sebab kalau rugi dah lama saya tak buat. Sudah lama saya berniaga dan lagi ramai orang datang.

"Bab makan saya tak nak berkira sangat. Janji harga berpatutan dan ramai orang boleh makan sampai kenyang," katanya.

HARGA LEBIH MURAH DARI KANTIN KOLEJ KATANYA...

Laporan itu menyatakan pelajar kolej vokasional, Aiman Syafiq Iza Syarrizan,18, berkata nasi ekonomi yang dijual di kedai tersebut lebih murah dari kantin kolejnya.

"Memang selalu saya dan kawan makan di sini terutama waktu tengah hari. Makanan di sini sedap dan harga lebih murah," katanya.

MENIAGA DALAM KEBERKATAN

Menurut MAJALAH NIAGA Terdapat 4 petua mudah untuk mencari keberkatan dalam perniagaan. Petua  ini perlulah dijadikan amalan bagi usahawan yang mahu mendapatkan rezeki yang berkat di dunia dan berpanjangan sehingga ke akhirat.

1. Niat
Niat adalah lintasan dalam hati sebelum kita melakukan sesuatu perkara. Ganjaran Allah adalah berdasarkan kepada apa yang kita niatkan.

Rasulullah SAW bersabda bahawasanya, “Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Usahawan yang mahu mendapat keberkatan dalam perniagaan mestilah memasang niat sebelum memulakan sebarang perniagaan agar perniagaan yang dijalankan adalah bertujuan semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah Taala.

2. Solat Sunat Dhuha

Solat sunat Dhuha adalah solat sunat yang dilakukan pada waktu pagi, selepas terbit matahari dengan minimum bilangan rakaatnya adalah dua dan maksimumnya adalah 12 rakaat.

Para peniaga mahupun usahawan digalakkan untuk menjemput rezeki dan menolak kepapaan dengan melaksanakan solat sunat Dhuha ini. Terdapat pelbagai kelebihan bagi mereka yang melaksanakan solat Dhuha ini dengan penuh khusyuk.

Antara kelebihan solat Dhuha adalah dijauhkan dari kemiskinan. Allah pasti mencukupkan keperluan bagi mereka yang rajin melaksanakan solat sunat Dhuha.

Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali kamu malas melakukan empat rakaat solat Dhuha, kerana dengan solat itu, Aku cukupkan keperluanmu pada waktu petangnya.” (Riwayat Hakim dan Tabrani)

Selain itu, antara kelebihan solat dhuha juga adalah mendapat balasan syurga dan dihindarkan dari azab dan seksaan api neraka. Abu Hurairah pernah berkata: “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari tiap bulan, dua raka’at Dhuha dan Witir sebelum tidur.”

3. Solat Sunat Tahajud

Untuk menjadi seorang usahawan yang mendapat keberkatan dalam hidup, amalan solat sunat Tahajud mestilah dilakukan pada setiap malam tanpa gagal. Dalam peniagaan terdapat pelbagai cabaran dan dugaan yang menimpa setiap usahawan. Usahawan berdepan dengan 1001 masalah.

Jadi, ambillah peluang untuk berkomunikasi dengan Allah dengan mengadu pada-Nya di akhir sepertiga malam kerana hanya Allah sahaja tempat kita meminta hajat dan memohon pertolongan.

Di antara kelebihan solat sunat Tahajud adalah hati akan menjadi lebih tenang, doa dan hajat dimakbulkan, mendapat pertolongan dan rahmat Allah, mendapat ketenangan hati, mencegah melakukan dosa, mengubati penyakit dan lain-lain.

Rasulullah SAW bersabda, “Setiap malam Allah Ta’ala turun ke langit dunia, ketika datang sepertiga malam terakhir, lalu Allah berfirman, “Barang siapa yang berdoa kepada-Ku akan Aku kabulkan, siapa yang meminta kepada-Ku, Aku berikan, siapa yang memohon ampun kepada-Ku Aku ampuni”. (Hadis Riwayat Bukhari Muslim)

4. Bersedekah

Percayalah, dengan bersedekah rezeki tuan puan pasti akan bertambah dan melimpah-ruah. Dengan sedekah juga, hati akan menjadi lebih tenang dan hidup akan menjadi lebih indah.

Bersedekah - berkat dalam perniagaan

Bersedekahlah kerana sedekah itu membawa kepada keberkatan harta kekayaan. Dengan adanya keberkatan, rezeki yang sedikit akan sentiasa mencukupi. Tanpa keberkatan, rezeki akan tersepit dan hidup makin terhimpit.

Janganlah kedekut untuk bersedekah kerana pada sedekah itu ada banyak kelebihan yang tersembunyi. Sedekah yang dilakukan dengan penuh ikhlas walaupun sedikit pasti akan mendapat ganjaran yang hebat di sisi Allah S.W.T.

Akhir kata, carilah keberkatan dalam berniaga kerana tanpa keberkatan harta banyak pun tiada gunanya. Jadilah peniaga yang bukan sahaja kaya di dunia malah kekayaan itu diwarisi sehingga ke akhirat sana.

Semoga dengan tips diberikan dapat mencari keberkatan dalam perniagaan.


SUMBER: BERNAMA/ MAJALAH NIAGA

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...