1. Arab Saudi sedang mengatur untuk merampas lebih 400 bilion riyal (RM411 bilion) dalam bentuk penyelesaian kewangan dengan ahli perniagaan dan pegawai kerajaan yang ditahan berhubung operasi membanteras rasuah di negara ini, baru-baru ini.
Peguam Negara Arab Saudi, Sheikh Saud Al Mojeb berkata, daripada 381 individu yang ditahan, sebanyak 56 orang masih belum membuat sebarang penyelesaian dan masih ditahan, berkurangan daripada 95 orang minggu lalu.
“Nilai anggaran penyelesaian kes rasuah ketika ini berjumlah 400 bilion riyal (RM411 bilion) mewakili pelbagai jenis aset termasuk hartanah, entiti komersial, keselamatan, wang tunai dan sebagainya,” kata beliau dalam satu kenyataan. REUTERS
2. Brunei umum rombakan Kabinet
BANDAR SERI BEGAWAN: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah hari ini mengumumkan satu rombakan Kabinet besar-besaran dengan menggantikan enam menteri Kabinet utama, selepas beberapa tahun pelantikan mereka.
“Beta berpendapat, sudah tiba masa bagi rombakan Kabinet.
“Saya membuat keputusan untuk mengumumkan pelantikan baharu dan perubahan anggota Kabinet,” kata Sultan Hassanal Bolkiah dalam satu siaran langsung dari Istana baginda. - REUTERS
3. Timbalan Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Andrew McCabe didakwa dipaksa meletakkan jawatan lebih awal daripada tempoh persaraannya oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, lapor agensi berita CBS News.
Menurut BBC.com, peletakan jawatannya itu hadir seminggu selepas Trump mahukan McCabe keluar daripada organisasi berkenaan.
Sebelum ini, McCabe dilantik menjadi pemangku pengarah FBI pada Mei lalu selepas Trump memecat James Comey. - CBS NEWS
4. RAMALLAH: Delegasi diplomat Amerika Syarikat (AS) terpaksa memendekkan acara di sebuah bandar Palestin di Baitulaham hari ini selepas penunjuk perasaan menyerbu mesyuarat yang mereka hadiri.
Penunjuk perasaan berang, yang membantah pengiktirafan kontroversi Presiden Donald Trump ke atas Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, turut membaling tomato ke arah kereta delegasi ketika mereka beredar, satu video dihantar dalam talian menunjukkan.
Ketua Dewan Perdagangan Baitulaham, Samir Hazboun berkata, pihaknya sedang mengadakan sesi latihan untuk ahli perniagaan tempatan mengenai perdagangan digital bersama pakar AS dan delegasi dari konsulat AS di Baitulmaqdis. - AFP
5. ROME: Polis Itali menahan seorang posmen di Vicenza selepas menemui lebih setengah tan longgokan surat yang tidak dihantar di garaj miliknya.
Polis dihubungi selepas pekerja kitar semula yang ditugaskan mengosongkan garaj itu menemui 43 bungkusan plastik berwarna kuning dipenuhi surat, bil, penyata bank, malah risalah pilihan raya bertarikh 2010. - REUTERS
6. WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menarik balik larangan terhadap pelarian dari 11 negara 'berisiko tinggi' yang berhasrat masuk ke negara itu.
Bagaimanapun pemeriksaan lebih ketat dikenakan terhadap mereka berbanding sebelum ini.
Pemohon dari 11 negara yang tidak didedahkan itu, difahamkan 10 negara majoriti penduduk Islam termasuk Korea Utara bakal menjalani pemeriksaan 'berisiko' sebelum diterima. - AFP
7. Tindakan Presiden Jokowi yang menjadi imam kepada Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani di Kabul telah menangkis dakwaan sebelum ini yang mengatakan beliau bukan beragama Islam.
Menghormati permintaan Ashraf Ghani, Jokowi atau nama sebenarnya, Joko Widodo telah menjadi imam solat Zohor di sebuah bangunan di Kabul diiringi kira-kira tiga saf dibelakangnya.
Jokowi berbuat demikian semasa kunjungan rasminya ke enam negara Asia dan Kabul adalah perhentian terakhirnya. - ASTRO AWANI