Asia Tenggara Berdepan 'Krisis Penyejukan'

Gambar oleh: Trending Malaya


GLOBAL/ ASIA : Asia Tenggara berdepan “krisis penyejukan” apabila semakin ramai orang menggunakan penghawa dingin secara tidak cekap untuk mengatasi peningkatan suhu dan pencemaran udara yang semakin teruk, kata penyelidik.

Lebih 420 pengurus dan pakar dari agensi kerajaan dan syarikat multinasional di Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam mengambil bahagian dalam kaji selidik mengenai sistem penyejukan dan kecekapan tenaga yang dijalankan oleh Eco-Business dan dibentangkan pada persidangan Bangkok hari ini.

Permintaan tenaga daripada ahli Asean meningkat 70% dari 2000 hingga 2016, dengan pertambahan penghawa dingin bagi memenuhi sebahagian besar permintaan bekalan elektrik isi rumah, kata laporan itu.

Trend ini dijangka berterusan apabila populasi bertambah, bandar berkembang dan tahap kekayaan meningkat.

“Aspek domestik penggunaan elektrik berkembang secara besar-besaran – lebih daripada industri dan sektor perkhidmatan di Asean – dan akibatnya bil penghawa dingin melambung,” kata Tim Hill, pengarah penyelidik di Eco-Business, sebuah organisasi mengenai kemapanan di Asia.

Pengunaan elektrik untuk unit penyaman udara di rantau ini sebahagian besarnya disediakan oleh stesen janakuasa arang batu.

Laporan itu menggesa kerajaan dan perniagaan menerima dasar dan peraturan baharu untuk membantu negara memenuhi sasaran global bagi mengurangkan pelepasan pemanasan planet.


“Kerajaan perlu memacu usaha ini dengan meletakkan peraturan yang menguatkuasakan penggunaan penghawa dingin yang lebih cekap – memastikan mereka tidak membuang produk lama,” kata Hill kepada Yayasan Thomson Reuters.

Responden kaji selidik itu berkata pengeluar dan pembekal penghawa dingin harus memberi tumpuan kepada penghasilan sistem tenaga lebih cekap dan mendidik pelanggan dengan lebih baik.

Penyejukan berlebihan di bangunan awam – seperti pejabat, pusat membeli-belah dan pawagam – juga harus ditangani, sementara kempen kesedaran awam akan membantu mempromosikan kecekapan tenaga.

Pengendali pawagam di sesetengah bandar raya di Asia Tenggara menyediakan stokin untuk mengekalkan suhu hangat, sementara pekerja pejabat memakai topi berbulu dan pengunjung di pusat membeli-belah boleh dilihat memakai jaket musim sejuk untuk menahan sejuk. Di jalanan, kedai berhawa dingin sering membuka pintu kedai mereka untuk menarik pembeli.

“Penghawa dingin direka untuk menjadikan orang berasa lebih selesa tetapi ia berlaku sebaliknya – ia membuatkan orang berasa tidak selesa dan menjadikannya lebih tidak produktif dengan membekukan mereka,” kata Hill.

Peraturan lebih ketat oleh kerajaan akan membantu menggalakkan atau menguatkuasakan sistem penyejukan tenaga yang cekap dan memberi insentif kewangan bagi memasang sistem sedemikian di rumah, kata laporan itu.

Pengguna, perniagaan dan kerajaan juga perlu bekerjasama menguruskan permintaan penggunaan elektrik dengan lebih baik, mengurangkan pelepasan dan pencemaran, dan beralih daripada pergantungan kepada stesen janakuasa arang batu, kata Mark Radka, ketua tenaga, iklim dan teknologi di Alam Sekitar Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Paris, yang juga memainkan peranan dalam laporan itu.

“Negara Asean secara keseluruhannya harus cuba meningkatkan peranan mereka,” katanya.

Sumber: Yayasan Thomson/Reuters

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...