Neelofa kaji laporan tahunan AirAsia



KUALA LUMPUR 11 DIS: Pelakon, hos dan usahawan terkenal, Neelofa, menyifatkan peluang mengembangkan potensi bersama AirAsia Bhd (AirAsia) adalah sesuatu yang sangat berharga dan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

BH ONLINE melaporkan Neelofa mengakui keyakinan syarikat penerbangan itu terhadap kemampuannya menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, bakal memberi pengalaman yang tidak mungkin diperoleh di mana-mana.

"Pengalaman baharu ini tak mungkin saya dapat cari di tempat lain walaupun dibayar RM1 juta sekali pun. Beberapa bulan dulu, ketika Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menghubungi saya buat kali pertama, saya susah hendak bayangkan kemungkinan itu.

"Pelbagai pertanyaan bermain dalam fikiran. Mampukah saya? Kenapa pilih saya? Tetapi, kalau beliau boleh percayai saya, kenapa saya perlu meragui kemampuan sendiri? Pasti ada sesuatu yang saya tidak sedari.

"AirAsia melihat saya ada potensi yang harus dicungkil, seterusnya memberi suntikan idea kepada generasi muda atau Gen Y, yang mempunyai impian besar untuk keluar daripada zon selesa," katanya kepada BH Online.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 28, berkata, AirAsia melihat potensinya mempengaruhi lebih 5.3 juta pengikut di media sosial dan mencipta aliran yang boleh disuntik ke dalam syarikat terbabit.

Tugasan pertama, tambah Neelofa, adalah membuat kajian terutama meneliti laporan tahunan syarikat penerbangan terbabit sebelum mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, bulan depan.

"Dalam tempoh sebulan ini, saya mahu memahami lebih mendalam mengenai latar belakang syarikat dan laporan tahunan sebelum mesyuarat, awal tahun depan.

"Saya perlu pastikan saya bersiap sedia dan tahu selok-belok serta sejarah perjalanan syarikat sebelum berkongsi idea mahu pun aspirasi," katanya yang berharap dapat menyuntik semangat wanita lain dengan pelantikannya itu.

Sebelum ini, reputasi usahawan muda yang diiktiraf Forbes Asia itu menyerlah di peringkat global apabila diberi kepercayaan sebagai anggota panel bagi Program Belia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), September lalu.

Neelofa ditemui ketika menghadiri majlis makan malam empayar perniagaannya, Naelofar Hijab.

SUMBER: BH ONLINE

TAGS: NEELOFA, AIRASIA, NEELOFAR, PBB

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...