GLOBAL 11 DIS: BAGAIKAN neraka dunia apabila kebakaran hutan di California dianggap terburuk dalam tempoh 80 tahun sehingga memaksa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan darurat.
Keadaan itu bagaikan suatu malapetaka negara Uncle Sam selepas membuat pengisytiharan bahawa Baitul Maqdis adalah ibu negara rejim Zionis.
Menurut White House, perisytiharan itu dibuat bagi memudah kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan susulan keadaan kecemasan akibat kebakaran hutan bermula awal bulan ini.
Ia juga bagi mengagihkan dana kecemasan kerajaan ke tempat yang dilanda bencana, termasuk Los Angeles, Riverside, San Diego, dan daerah Ventura.
NEWSWEEK melaporkan empat kebakaran terus marak di selatan California pada hari Khamis, dengan amaran yang berkuatkuasa pada hari Sabtu.
Kebakaran merebak ke arah Los Angeles, dan awal minggu ini, menjadikannya ke pantai Pasifik dengan asap-asap yang kelihatan dari satelit NASA.
Sebelum ini dilaporkan hampir 200,000 penduduk dipindahkan susulan kebakaran hutan di selatan California yang semakin buruk.
Agensi Berita Antarabangsa BBC NEWS melaporkan, kira-kira 5,000 anggota bomba dikerah untuk memadamkan kebakaran di empat hutan yang telah memusnahkan ratusan kediaman di selatan negeri ini.
Jumlah penduduk yang dipindahkan terus meningkat apabila kebakaran hutan baharu dilaporkan berlaku di utara San Diego.
Anggota bomba di California Selatan berhadapan tekanan mengawal enam kebakaran hutan, yang sudah memusnahkan ratusan bangunan dan memaksa puluhan ribu penduduk berpindah.
Jabatan kaji cuaca meramalkan angin semakin kencang menjelang malam ini sekali gus menjadikannya lebih mencabar kepada 8,700 anggota bomba yang sudah bergelut mengawal kebakaran dari San Diego ke Pantai Pasifik di Santa Barbara, sejak lima hari lalu.
Kebakaran meragut sekurang-kurangnya satu nyawa, memusnahkan 500 struktur, mencederakan 10 orang termasuk empat anggota bomba.
Angin kencang berkemungkinan memadamkan api yang kini berisiko merebak, kata jurucakap Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California, Lynne Tolmachoff.
Pada kemuncaknya, kira-kira 212,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Arahan pemindahan ditarik balik di sesetengah kawasan, menjadi berita baik kepada ramai di pusat perlindungan yang menanti untuk melihat sama ada rumah mereka selamat.
Gabenor California, Jerry Brown, hari ini bertemu penduduk kawasan dilanda kebakaran dan melawat kerosakan di Ventura, lokasi kebakaran terbesar iaitu Thomas Fire, memusnahkan 57,870 hektar kawasan dan 476 struktur.
BERIKUT ADALAH GAMBAR DILAPORKAN LOS ANGELES TIMES berkenaan kebakaran itu: