SalamAir perkenal penerbangan terus KL-Muscat



PENERBANGAN | Syarikat penerbangan tambang rendah dari Oman, SalamAir, memperkenalkan laluan penerbangan terus di antara Kuala Lumpur dan ibu negara Oman iaitu Muscat bermula 3 Julai 2023.


Syarikat penerbangan itu akan memulakan penerbangan sebanyak dua kali seminggu sebelum kekerapannya ditingkatkan kepada empat kali seminggu pada September ini.


Ketua Pegawai Eksekutif SalamAir berkata, perkhidmatan baharu itu menandakan satu lagi kejayaan dalam strategi pengembangan rangkaiannya.


"Kami berbesar hati untuk melancarkan penerbangan di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat, sekali gus menyediakan pelanggan kami produk yang bernilai untuk wang.



"Ia juga membolehkan mereka untuk menjadi fleksibel, menjimatkan tambang penerbangan dengan harga kompetitif dan menambah perkhidmatan yang mereka suka.


"Penerbangan ini akan meningkatkan sektor pelancongan, hubungan ekonomi, peluang perniagaan, dan pergerakan pelajar antara Malaysia dan Oman," kata  Kapten Mohamed Ahmed dalam kenyataan media pada 3 Julai 2023.



Mohamed berkata, dengan permintaan tinggi untuk destinasi pelancongan unik seperti Kuala Lumpur, SalamAir berharap dapat mengalu-alukan pelanggan menaiki penerbangan baharu ini.


"Tiket penerbangan untuk laluan ini dan penerbangan lain SalamAir boleh dibeli di laman web rasmi syarikat penerbangan, www.salamair.com, aplikasi mudah alih, pusat panggilan, serta agensi bertauliah syarikat penerbangan itu.


"Pada masa ini, SalamAir menggunakan pesawat Airbus A320neo dan Airbus A321neo, menjadikannya syarikat penerbangan Oman pertama yang menggunakan pesawat jenis lorong tunggal ini.


"Ini juga membuka kemungkinan perjalanan baharu di seluruh rantau dan dunia. Perkongsian dengan ATS Network mengukuhkan lagi dedikasi SalamAir untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar untuk pelanggan di Malaysia," katanya.

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...