PRN2023: Majoriti Pengundi Usia 21 Hingga 29 Tahun, Seramai 2,169,120 Pemilih




Majoriti daripada 9,773,571 pemilih layak mengundi pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos ini membabitkan pengundi berusia antara 21 hingga 29 tahun.


Berdasarkan statistik dikongsikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pemilih dalam lingkungan usia berkenaan adalah seramai 2,169,120 atau 22.19 peratus diikuti pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun iaitu seramai 2,163,982 orang atau 22.14 peratus.


Pengundi berusia 40 hingga 49 tahun adalah seramai 1,695,876 orang (17.35 peratus) disusuli pemilih berusia 50 hingga 59 tahun iaitu seramai 1,380,446 orang (14.12 peratus) dan seramai 1,035,257 pengundi berusia antara 60 hingga 69 tahun (10.59 peratus).


Bagi pengundi muda berusia antara 18 hingga 20 tahun pula, statistik SPR berdasarkan daftar pemilih menunjukkan golongan terbabit adalah seramai 661,905 orang atau 6.77 peratus.


Seramai 491,111 pengundi membabitkan pemilih berusia antara 70 hingga 79 tahun atau 5.02 peratus manakala seramai 146,883 pengundi berusia antara 80 hingga 89 tahun (1.50 peratus) serta 28,991 lagi adalah pemilih berusia 90 tahun ke atas (0.30 peratus).


Sementara itu, Selangor merekodkan jumlah pengundi paling ramai iaitu membabitkan 3,747,057 pemilih diikuti Kedah (1,585,085), Kelantan (1,411,912), Pulau Pinang (1,234,198), Terengganu (930,894) dan Negeri Sembilan (864,425).


Bagi PRN kali ini, seramai 4,935,937 atau 50.17 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi terdiri daripada wanita manakala 4,837,634 atau 49.83 peratus adalah lelaki.


Terdahulu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian bagi PRN dan diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.
Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

Dengan kos RM420 juta bagi pelaksanaan PRN berkenaan, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai, sehingga 11.59 malam, 11 Ogos 2023 (Jumaat).

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...