Tangkap layar laman sesawang BH Online pada 5 Januari 2023 melaporkan pusat peranginan Alps di Leysin, Switzerland, terpaksa menyediakan salji buatan bagi pengunjung yang mahu meluncur salji berikutan suhu panas melebihi kelaziman pada musim sejuk di Eropah kali ini.
GLOBAL | BRUSSELS: Suhu melampau mencecah rekod dicatatkan ketika musim sejuk di keseluruhan Eropah sepanjang minggu pertama Tahun Baharu 2023, yang dikatakan berlaku akibat perubahan iklim.
Agensi Berita Antarabangsa REUTERS pada 5 Januari 2023 melaporkan ratusan kawasan mencatatkan suhu tinggi musim sejuk yang memecahkan rekod sebelum ini, dari Switzerland ke Poland hingga ke Hungary, yang mencatatkan Malam Krismas paling panas di Budapest dengan suhu meningkat kepada 18.9 darjah Celsius pada 1 Januari.
Di Perancis, suhu meningkat kepada hampir 25 darjah Celsius di barat daya pada Hari Tahun Baharu manakala pusat peranginan ski Eropah yang lazimnya sibuk pada masa ini, lengang kerana kekurangan salji.
Perkhidmatan Cuaca di Jerman yang merekodkan suhu lebih 20 darjah Celsius melaporkan, peralihan musim tahunan seumpamanya tidak pernah berlaku sejak 1881.
"Ramalan untuk keseluruhan musim sejuk belum dapat diperoleh tetapi kami meramalkan musim sejuk keseluruhan yang 'lebih sederhana' tahun ini berbanding tiga dekad sebelumnya," kata Unit Pemantauan Iklim Kebangsaan Jerman, Florian Imbery.
Televisyen Czech pula melaporkan beberapa pokok mula berbunga lebih awal manakala pejabat Meteorologi dan Klimatologi Switzerland mengeluarkan amaran debunga kepada penghidap alahan susulan bunga hazel yang mekar awal tahun ini.
Suhu mencecah 25.1 darjah Celsius di lapangan terbang Bilbao di negeri Basque, Sepanyol, sehingga orang ramai boleh berjemur di bawah sinar matahari ketika mereka duduk di luar Muzium Guggenheim Bilbao atau berjalan di sepanjang Sungai Nervion.
"Ia sentiasa hujan lebat di sini, sangat sejuk walaupun pada Januari, (tetapi sekarang) ia terasa seperti musim panas," kata penduduk Bilbao, Eusebio Folgeira, 81 tahun.
Saintis belum lagi menganalisis secara khusus bagaimana perubahan iklim mempengaruhi suhu tinggi baru-baru ini, tetapi cuaca panas Januari sesuai dengan trend jangka panjang kenaikan suhu akibat perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia.
Pakar iklim Greenpeace Jerman, Karsten Smid, berkata sudah terlalu lewat bagi tindakan untuk mengelakkan cuaca panas semasa musim sejuk sekarang, sebaliknya langkah perlu diambil supaya pemanasan global tidak bertambah buruk pada masa depan.
"Fenomena yang berlaku sekarang adalah apa yang saintis sudah beri amaran kepada kita 10 atau 20 tahun yang lalu, yang kini tidak dapat dielakkan," katanya.
Permulaan 2023 yang 'panas' ini menyusuli 2022 yang banyak terjejas akibat pemanasan global dengan menyaksikan gelombang haba melampau di Eropah dan India serta banjir besar di Pakistan, kesemuanya mengorbankan banyak nyawa.