GLOBAL | AMERIKA SYARIKAT: Lebih 700,000 penduduk Amerika Syarikat (AS) terputus bekalan elektrik, manakala 16 maut akibat nahas kenderaan berkaitan cuaca dengan ribuan terkandas akibat pembatalan penerbangan, berpunca daripada cuaca ekstrem Artik.
Agensi Berita Antarabangsa REUTERS pada 24 Disember 2022 melaporkan kejatuhan suhu dijangka membawa malam Krismas paling sejuk yang pernah direkodkan menyebabkan sistem tenaga di seluruh negara tertekan akibat peningkatan penggunaan haba dan kerosakan jana kuasa akibat ribut.
Menurut Poweroutage.us., angka gangguan terkini menurun daripada 1.8 juta rumah dan premis perniagaan AS yang terputus bekalan elektrik pada awal pagi semalam.
Banyak syarikat elektrik terus meminta pelanggan untuk menjimatkan tenaga dengan tidak menghidupkan peralatan besar dan mematikan lampu yang tidak diperlukan.
Duke Energy pada lewat petang 23 Disember 2022 memberitahu pelanggan bahawa mereka sudah menamatkan pemadaman berterusan selama 15 hingga 30 minit di seluruh Carolina Utara dan Selatan, dimulai pada awal hari sehingga bekalan elektrik tambahan tersedia.
Gangguan itu mengubah rutin harian dan rancangan percutian untuk jutaan rakyat AS ketika tempoh perjalanan paling sibuk pada tahun itu.
Menurut perkhidmatan pengesanan penerbangan FlightAware, lebih 2,700 penerbangan AS dibatalkan semalam, dengan jumlah kelewatan itu mencecah lebih 6,400.
Pada 22 Disember 2022, lebih 5,000 penerbangan dibatalkan. Persatuan Automobil Amerika juga menganggarkan 112.7 juta orang akan meneruskan perjalanan sejauh 80 kilometer atau lebih dari rumah antara kelmarin hingga dan 2 Januari.
Bagaimanapun, ribut menjelang hujung minggu menyebabkan ramai penduduk kekal di rumah.
Menurut laporan media, kemalangan kereta berkaitan cuaca di seluruh negara juga mengakibatkan sekurang-kurangnya 16 maut dan ratusan lagi terkandas di atas ais dan jalan bersalji.
Di Erie County, utara New York, kira-kira 500 pemandu terkandas di dalam kenderaan mereka pada malam kelmarin hingga pagi semalam, dengan National Guard dipanggil untuk membantu menyelamat, kata Eksekutif Erie County, Mark Poloncarz kepada media.
Katanya, sekurang-kurangnya seorang ditemui mati di dalam kereta.
"Tiada tempat untuk sesiapa pergi, semuanya ditutup, jadi tinggal di rumah," katanya kepada MSNBC.
Kata pegawai, dua pemandu maut dan ramai lagi cedera, dalam longgokan 50 kenderaan yang menutup Turnpike Ohio di kedua-dua arah ketika ribut salji berhampiran Toledo, yang memaksa pemindahan pemandu yang terkandas dengan bas untuk mengelakkan mereka kesejukan.
Tiga kematian dilaporkan di Kentucky, yang mana Gabenor Andy Beshear, pada semalam sudah memberi amaran kepada penduduk untuk 'duduk di rumah, kekal selamat, kekal hidup'.
"Saya tahu ia sangat sukar kerana ia adalah Krismas. Tetapi kami mengalami puluhan kemalangan. Ia tidak selamat," katanya menerusi taklimat dalam talian.