GLOBAL | NEW YORK: Ribut salji maut membadai Amerika Syarikat (AS) pada Hari Krismas 25 Disember 2022, mengorbankan 31 nyawa setakat ini, dengan Buffalo, New York, antara yang paling teruk terkesan, mencatatkan 12 kematian.
Agensi Berita REUTERS pada 26 Disember 2022 melaporkan ramai pemandu terperangkap dalam kenderaan masing-masing dan bekalan elektrik beribu-ribu kediaman terputus, sekali gus meningkatkan kematian akibat kesejukan teruk yang membekukan sebahagian besar AS sejak beberapa hari lalu.
Sekurang-kurangnya 31 disahkan maut setakat ini akibat kes insiden berkaitan cuaca AS menurut penjumlahan NBC News, sejak keadaan cuaca beku melampau melanda negara, ditambah salji, ais dan angin ribut dari wilayah Great Lakes hujung minggu lalu.
Kebanyakan kehilangan nyawa itu tertumpu di dalam dan sekitar Buffalo di pinggir Tasik Erie di barat New York, kerana 'kesan tasik' salji yang sejuk dan berat - akibat udara sejuk bergerak atas perairan tasik yang lebih panas, berterusan sepanjang cuti hujung minggu.
Eksekutif Daerah Erie, Mark Poloncarz, berkata jumlah kematian akibat ribut itu meningkat kepada 12 orang pada Ahad/ 25 Disember 2022, meningkat daripada tiga dilaporkan hari sebelumnya di wilayah Buffalo.
Menurutnya, mangsa terbaru termasuk beberapa yang ditemui di dalam kenderaan dan beberapa di tebing salji, sambil menambah jumlah kematian itu berkemungkinan bertambah.
Walaupun larangan memandu dikeluarkan sejak Jumaat/ 23 Disember 2022, ratusan pemandu Erie County terkandas dalam kenderaan mereka pada hujung minggu, dengan tentera Pengawal Kebangsaan dikerah membantu kerja menyelamat yang rumit kerana salji tebal.
"Ini bukan Krismas yang kami harapkan atau dijangkakan. Takziah saya ucapkan kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang," kata Poloncarz di Twitter pada 25 Disember 2022.
Sementara itu, Jabatan polis Buffalo menyiarkan rayuan dalam talian untuk bantuan orang ramai dalam usaha mencari dan menyelamat, sambil meminta mereka yang mempunyai kenderaan peluncur salji salji tampil membantu dengan menghubungi talian khas.
Keadaan ribut itu agak melampau kali ini, walaupun untuk wilayah yang terbiasa dengan cuaca musim sejuk yang teruk.
Gabenor New York, Kathy Hochul memberitahu pemberita pada Ahad bahawa pentadbiran Presiden AS, Joe Biden bersetuju menyokong permintaannya untuk pengisytiharan bencana Persekutuan.
Katanya, kira-kira 200 tentera Pengawal Kebangsaan sudah digerakkan di barat New York, memberikan bantuan kepada anggota polis dan bomba, menjalankan pemeriksaan kesihatan dan membawa bekalan ke tempat perlindungan.
Ribut itu bergerak ke timur pada 25 Disember 2022, selepas memutuskan bekalan elektrik bagi kira-kira 1.5 juta pengguna pada kemuncak gangguan pada akhir minggu lalu dan memaksa ribuan pembatalan penerbangan komersial semasa tempoh perjalanan percutian yang sibuk.
Lebih 150,000 rumah dan perniagaan AS mengalami gangguan bekalan elektrik semalam, turun mendadak daripada 1.8 juta tanpa bekalan elektrik pada awal Sabtu, menurut PowerOutage.us.
Di Buffalo, 16 peratus penduduk tidak mempunyai bekalan elektrik semalam, kata pegawai.
Di Kanada, bekalan elektrik juga terputus kepada sekurang-kurangnya 140,000 pelanggan utiliti, kebanyakannya di wilayah Ontario dan Quebec, terjejas teruk oleh sistem cuaca sama yang menimbus barat New York dengan salji tebal.
Lebih 1,700 penerbangan di AS dibatalkan setakat tengah hari semalam, menurut laman sesawang penjejak penerbangan, FlightAware.