MH370: 8 Tahun Berlalu, Bayangan Konspirasi, Misteri & Harapan


The missing aircraft, 9M-MRO, taking off from Paris in 2011. - Wikipedia


DISUSUN/OLEH: MOHD EZLI MASHUT

Penganalisis Isu Semasa & Antarabangsa



PADA 8 Mac 2014, 239 penumpang dalam penerbangan MH370 dari KLIA ke Beijing, hilang dari radar selepas lebih satu sejam setengah berlepas.
“Good night Malaysian three-seven-zero” – Itu mesej terakhir dari pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370, seterusnya penerbangan kapal itu penuh misteri. Tidak diketahui dengan jelas ke manakah dan apakah yang berlaku selepas itu.

Berbeza dengan dua tragedi pesawat MAS MH17 dan Air Asia Indonesia QZ8051 yang ditemui bangkai pesawat, MH370 kehilangan jejak malah sebutir skru pun pesawat tidak ditemui.


Tragedi MH370 dianggap kejadian terburuk melanda sejarah dunia penerbangan sejak bermula.


Tiada jawapan walaupun dunia masa kini penuh dengan peralatan berteknologi tinggi ditambah dengan sistem komunikasi canggih dari laut, darat, udara dan angkasa lepas.


Apa yang pasti serpihan pesawat itu masih gagal ditemui walaupun usaha antarabangsa untuk mengesannya giat dijalankan dengan kos AS$200 juta (RM837.47 juta) membabitkan 120,000 meter persegi, sekali gus mencetuskan misteri berterusan.


Serpihan pesawat, bertaburan di lautan ditemui sejauh pantai timur Afrika. Sebagai contoh, kepak sangkut di sayap kanan ditemui di Pulau Pemba, timur Tanzania, pada 2016.


Teori terkini: Tempat berehat terakhir MH370 adalah kira-kira 2,000km barat Perth di selatan Lautan Hindi - kawasan carian baharu yang mungkin enam kali lebih kecil kerana teknologi yang belum diterokai sebelum ini.


Pesara British Richard Godfrey – ahli Kumpulan Bebas MH370, yang terdiri daripada saintis, penyelidik dan individu – berkata beliau percaya bahawa beliau telah mengira koordinat ke tempat terakhir MH370, kira-kira 2,000km barat Perth, Australia Barat, di selatan India.


Jika analisisnya terbukti benar, kawasan carian baharu mungkin hanya 18,000 km persegi, kawasan yang jauh lebih kecil berbanding pencarian 2017 seluas 120,000 km persegi, yang pada masa itu merupakan pencarian terbesar pernah dilakukan.



Sumber Grafik: Youtube



Malaysia mungkin meneruskan perbincangan lanjut dengan China dan Australia untuk melancarkan misi pencarian baharu bagi pesawat Malaysia Airlines MH370 jika bukti yang boleh dipercayai mengenai perkara itu diperolehi.


Kementerian Pengangkutan, dalam satu kenyataan media pada 18 Februari 2022 berkata, ia akan berunding dengan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mengenai perkara itu selepas pihaknya selesai menyemak dokumen yang dikeluarkan oleh jurutera aeronautik Britain, Richard Godfrey.


Apa Yang Berlaku Pada 8 Mac 2014?

Penerbangan MH370 berlepas dari Kuala Lumpur pada 00:41 waktu tempatan. Pada 1:19, juruterbang atau pembantu juruterbang menghubungi kawalan trafik udara Malaysia. Pesawat itu kemudian menyeberang ke ruang udara Vietnam tetapi tidak pernah diperiksa di Vietnam dengan kawalan trafik udara.


Transponder pesawat, yang menghantar kedudukan pesawat ke radar, ditutup. Radar tentera Malaysia dan Thailand mengesan pesawat ke barat, dan kemudian menuju utara. Penerbangan MH370 kali terakhir dikesan oleh radar tentera Malaysia di 02:22, terbang di Laut Andaman.



Sumber Grafik: Wikipedia


Penerbangan MH 370 terus terbang selama hampir enam jam lebih, mengikut tujuh automatik “ping” dikesan oleh satelit. Penyiasat rasmi menggunakan data ini menganalisis dua laluan yang mungkin bagi kapal terbang: satu ke arah utara Kazakhstan, dan satu lagi ke selatan Lautan Hindi.


Dengan menggabungkan data satelit dan maklumat dari pesawat, mereka menganggarkan ia telah terbang laluan selatan, akhirnya kehabisan bahan api dan menjunam ke dalam Lautan selatan India.


Namun, kejadian sebenar tidak diketahui selagi tiada bukti dari kotak hitam dan bukti-bukti lain.


MH370 : Kehilangan Mengundang Misteri Dan Teori Konspirasi

Kehilangan MH370 mencetus pelbagai teori, ada mendakwa ia disorokkan di pangkalan tentera Amerika Syarikat di Kepulauan Diego Garcia, membawa peralatan berteknologi tinggi Command & Control (C&C), penculikan elit cerdik pandai pakar teknologi, dirampas menggunakan kawalan jauh, rampasan pihak pengganas dan perisikan malah turut didakwa dihilangkan oleh teknologi UFO dan makhluk asing.


Tidak cukup itu, ada pihak mendakwa ia konspirasi kuasa besar melibatkan agensi perisikan antarabangsa seperti CIA,MOSSAD & FSB kerana MH370 didakwa membawa barangan ‘bernilai tinggi’.


Ada juga teori yang mengatakan pesawat dikawal alat kawalan jauh serta dirampas pihak tertentu untuk membunuh saintis yang dikatakan menjadi penumpang yang boleh memberikan ancaman kepada negara yang terlibat. Teori seperti ini juga masih tinggal teori semata-mata dan tidak dapat menjawab persoalan kehilangan pesawat itu secara konkrit.


Satu lagi teori konspirasi terkini datang daripada wartawan sains dan penulis, Jeff Wise, mendakwa kononnya pesawat itu dirampas atas arahan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan diterbangkan ke satu landasan terbang terpencil di Kazakhstan.


Pada 3 Mac 2015, seorang juruterbang kanan Boeing 777, Kapten Simon Hardy mendakwa penerbangan MH370 berlegar di ruang udara Pulau Pinang iaitu kampung halaman juruterbang itu seolah-olah mengucapkan selamat tinggal.


Bagaimanapun, sehingga hari ini masih belum ada bukti untuk menyokong dakwaan itu.


Pada bulan Disember 2014, mantan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat penerbangan Perancis, Marc Dugain mendakwa kononnya Amerika mungkin telah menembak jatuh pesawat MH370 ketika ia terbang menghampiri pangkalan tentera AS di atol Diego Garcia di Lautan Hindi.


Pihak tentera AS didakwa kononnya berbuat demikian kerana cemas pangkalan itu akan diserang ala-9/11.


Tentera AS didakwa menyembunyikan insiden itu tetapi kedutaan AS di Kuala Lumpur menyangkal dakwaan ini dan menyatakan tidak ada petunjuk bahawa pesawat MH370 telah terbang berhampiran pangkalan tentera Amerika itu.


Nasib Berbeza Jika Pesawat TUDM Pintas Semasa MH370 Tukar Haluan?

Ramai pihak beranggapan misteri kehilangan MH370 dijangka berbeza ketika itu jika Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghantar pesawat memintas selepas ia menukar arah tanpa makluman menara kawalan, namun tindakan penting ketika itu tidak berlaku.


Pegawai Tentera Malaysia mendedahkan pada 12 Mac 2014, pesawat tidak dikenali, dipercayai MH370, terbang di seluruh Semenanjung Malaysia selepas melakukan pusingan, dan kali terakhir dilihat melalui radar tentera pada kelajuan 370km di barat laut Pulau Pinang.



Sukhoi 30MKM milik TUDM. Sumber Foto: JetPhotos


Bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Zaidi Ahmad berkata, ketiadaan tindakan ketenteraan pada masa itu membuktikan perlunya mengubah dan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) bagi tentera, dan juga bagi kerjasama tentera-awam.


“Ini sepatutnya dilakukan berikut serangan pengganas di New York pada 11 September 2001 tetapi tentera Malaysia mengekalkan sikap “sambil lewa”, kata Zaidi dipetik The Malaysian Insider, yang berpengalaman sebagai juruterbang pesawat pejuang lebih daripada 20 tahun.



Sumber Grafik: Wikipedia


Dari Konspirasi Dan Misteri Ke Harapan

Ada sebuah kisah misteri mengenai kehilangan pesawat yang berlegar di laman web sebaik kehilangan MH370 berkenaan pesawat hilang selama 35 tahun muncul kembali dan mendarat di Brazil.


Dakwa cerita itu, ia sebuah peristiwa aneh terjadi pada tanggal 4 September 1945. Pada saat itu penumpang dan kru terbang dan menghilang di atas langit Atlantik yang membuat heboh di seluruh dunia.


Anehnya, setelah 35 tahun kemudian, tepatnya pada 12 Oktober 1980, pesawat ini mendarat di Porto Alegre, Brazil tanpa pemberitahuan terhadap menara kawalan Lapangan Terbang.


Saat membuka pintu pesawat, sejumlah orang tercengang melihat para penumpang pesawat tersebut yang berjumlah 92 orang itu telah kurus kering.


Sumber: Google


Tiada pengesahan rasmi berkenaan kejadian ini, tetapi kisah ini dipaparkan seolah-olah memberikan harapan pada suatu masa di masa hadapan MH370 dan penumpangnya akan ‘kembali’ dengan selamat.


Namun, kisah ini dikatakan tidak benar kerana:

  1. -Reputasi media yang melaporkan kisah Santiago 513 terkenal dengan imeh ‘cerita fiksyen’

  2. -Kisah Santiago 51 3ini dikatakan hampir sama dengan episod rancangan The Twilight Zone – The Odyssey of Flight 33 pada tahun 1961.

  3. -Kekurangan bukti.


Nampak bagaikan cerita fiksyen tetapi itu harapan yang mungkin disandarkan kepada nasib penumpang dan kru MH370. Terus mengharap selagi bangkai pesawat dan jasad tidak ditemui.


Apa Yang Boleh Dipelajari Dari Tragedi MH370

Belajar daripada tragedi kehilangan ‘tanpa jejak’ MH370, MAS telah memperkenalkan sistem muat turun data penerbangan setiap 15 minit bagi penjejakan pesawatnya mengikut masa nyata.


Masyarakat perlu lebih bertanggungjawab dalam menyebar berita tak berasas di media sosial dan membuat cerita karut dan tindakan mengguris waris mangsa MH370.


Sistem keselamatan pesawat perlu dipertingkatkan khususnya kotak hitam yang boleh menyampaikan data secara langsung kepada pusat kawalan bagi memudahkan analisis.


Malah sistem satelit penjejak perlu berupaya menjejak pesawat secara langsung di kawasan yang sukar dicapai dan ‘titik buta’ radar komersil dan tentera.


MH370: Harapan Masa Hadapan

Keluarga waris mangsa MH370 perlu diberikan bantuan sokongan kewangan dan moral. Lapan tahun tanpa mengetahui nasib sebenar adalah penyeksaaan batin yang hebat.


Pembina dan pengendali syarikat penerbangan perlu bangkit dengan membuat rombakan besar-besaran dan mengkaji serta memperbaiki tahap keselamatan pesawat kendaliannya.


Sistem jejak pesawat, prosedur pencarian dan menyelamat perlu diperkemas dari semasa ke semasa. Kepakaran dan latihan perlu dipertingkat disamping kerajaan belajar agar kejadian sama tidak berulang di masa hadapan.


Lapan tahun sudah berlalu mencari, harapan agar tidak menunggu sedekad lagi untuk mencari jawapan sebenar tragedi yang menimpa MH370. – “Good night Malaysian three-seven-zero”


8 Tahun Berlaku, Apa Yang Terkini?

Terkini, selepas lapan tahun, dilaporkan pasukan penyiasat Australia memperbaharui misi pencarian kehilangan pesawat MH370 selepas seorang jurutera aeroangkasa, Richard Godfrey mendedahkan laporan yang mendakwa sudah mengenalpasti lokasi sebenar keberadaan pesawat itu.


Richard sebelum ini mendakwa teknologi radio yang digariskan dalam laporannya, iaitu Weak Signal Propagation Reporter (WSPR) boleh digunakan untuk mengesan dan menjejaki pesawat dengan tepat.



Sumber : https://www.mh370search.com/2021/12/31/mh370-flight-path/


Beliau percaya MH370 terhempas ke laut pada kedudukan sejauh 1,933 kilometer (km) dari barat Perth dan berada 4,000 meter (m) di bawah air.


Sekali lagi diharap penyelidikan terperinci dilakukan Godfrey boleh dipercayai dengan matlamat utamanya adalah untuk mengakhiri penantian dan penderitaan ahli keluarga mangsa pesawat MH370.


Dalam perkembangan terkini, syarikat eksplorasi persendirian, Ocean Infinity membayangkan mungkin untuk kembali semula ke lautan untuk misi pencarian pesawat MH370.


Perkara itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutifnya Oliver Plunkett sempena Upacara Memperingati Ulang Tahun Kelapan, kehilangan pesawat malang itu, yang diadakan secara maya.


Portal Airlineratings melaporkan, Plunkett juga memberi bayangan kepada waris terdekat, syarikat itu komited untuk mencari Boeing 777 yang hilang.



Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity Oliver Plunkett. Sumber Foto :https://www.airlineratings.com/news/ocean-infinity-commits-new-search-mh370-2023-2024/



Pihaknya kini sedang mempersiapkan kapal pencarian dilengkapi dengan sistem pengesanan lebih canggih berbanding sebelum ini.


"Kami akan persiapkannya dan ia memerlukan banyak tugas untuk kapal berkenaan dipersiapkan sebelum perbincangan dengan pihak Kerajaan (Malaysia).


"Kami juga berharap akan terus mendapat sokongan daripada pihak Kerajaan Australia seperti sebelum ini.


"Kapal yang berbeza dan mungkin ia adalah kapal yang paling canggih di dunia dan kami sedang merancang untuk membinanya tanpa perlu ada manusia di atas kapal itu," jelasnya pada sidang video secara maya yang turut dihadiri sebahagian anggota keluarga mangsa.



Sumber Grafik: https://www.airlineratings.com/news/ocean-infinity-commits-new-search-mh370-2023-2024/


Jelasnya lagi, setakat ini, pihak Ocean Infinity juga bersetuju dengan syarat sebelumnya iaitu tiada bayaran dikenakan sehingga mereka menemukan pesawat itu.


Bagaimanapun katanya, ia tertakluk kepada persetujuan kerajaan Malaysia sama ada membenarkan usaha pencarian itu atau tidak, yang mungkin akan dilakukan menjelang 2023 nanti.


Plunkett menambah bahawa beliau bersetuju sepenuhnya dengan rayuan penuh semangat daripada bekas pengarah pencarian ATSB MH370 Peter Foley bahawa usaha mesti dilakukan bagi terus mencari MH370


“Sudah tentu sentimen apa yang diperkatakan oleh Pete Foley adalah betul. Jadi, kami sangat bersetuju dengan itu. Jadi ia adalah sesuatu yang penting dengan sendirinya, ia penting untuk anda, dan jika anda adalah Ocean Infinity dan anda percaya bahawa anda adalah orang terbaik di dunia dalam carian berasaskan laut, ia penting untuk kami.


“Jadi ia bukan sesuatu yang kami lupa atau kami akan lupa, dan kami mahu datang dan melakukannya. Terdapat banyak perkara yang perlu diselesaikan antara sekarang dan 2023. Jadi, kami akan mencuba dan merealisasikannya. Dan jika tidak, ia adalah 2024" katanya.


TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...