ANALISIS BANJIR KILAT | Musim Peralihan Monsun, Angin Dan Fenomena La Nina Antara Faktor Utama


          Sumber Foto: Twitter



CUACA | Tiga faktor utama fenomena cuaca ekstrim mengakibatkan hujan lebat dan banjir kilat di beberapa kawasan di empat negeri khususnya Lembah Klang, pada 7 Mac 2022/Isnin.


Pengerusi Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, punca utama adalah Malaysia khususnya Pantai Barat ketika ini mula memasuki musim peralihan monsun.


Selain itu, kata Prof Dr Fredolin Tangang peralihan keadaan angin di bahagian atas semasa musim peralihan monsun serta fenomena La Nina yang masih aktif turut menjadi faktor pendorong, lapor BH Online pada 8 Mac 2022/Selasa.


Beliau mengakui banjir kilat seperti melanda Lembah Klang pada 7 Mac 2022/Isnin bukan mustahil untuk berlaku kerana hujan dan ribut petir memang biasa terjadi pada musim peralihan monsun, malah keadaan ini akan berterusan hingga Mei sebelum musim beralih ke Monsun Barat Daya.


"Bagaimanapun banjir mungkin juga dipengaruhi faktor lain, bukannya sekadar curahan hujan.


"Apabila hujan lebat melanda di lokasi yang pesat membangun dan tidak mempunyai infrastruktur terancang seperti sistem saliran lemah, tipikalnya banjir kilat akan berlaku," katanya.


Faktor Penyebab Banjir Kilat


Mengulas faktor banjir kilat disebutkan, beliau berkata, musim peralihan monsun menyediakan keadaan kondusif bagi sistem perolakan yang biasa berlaku pada petang dan lewat petang, sekali gus membawa hujan lebat, ribut petir dan kilat.


Katanya, situasi cuaca dirasai di negara ini hari ini juga akibat peralihan keadaan angin di bahagian atas semasa musim peralihan monsun yang biasanya menjadi lemah dan ia kondusif bagi sistem perolakan, pembentukan awan komulonimbus serta ribut petir dan hujan lebat.


"Angin di bahagian atas pada peralihan monsun tidak berapa kuat, tidak seperti semasa Monsun Timur Laut atau Barat Daya. Ini akan menyebabkan proses perolakan cuaca berlaku dengan mudah.


"Proses ini memerlukan haba diserap permukaan bumi dan terkumpul dari sebelah pagi hingga ke petang. Udara panas di sebelah petang akan mengembang dan menjadi lebih ringan serta teranjak ke atas bersama kelembapan tinggi yang menjana perolakan serta pembentukan awan, lalu menjana ribut petir dan hujan yang lebat. Ia juga memerlukan haba dan kelembapan," katanya.


Fredolin berkata, intensiti curahan hujan dan ribut petir berlaku dalam tempoh ini turut dipengaruhi faktor fenomena La Nina yang masih aktif dan berkategori sederhana di bahagian tengah serta timur Lautan Pasifik, dengan penurunan suhu permukaan laut yang lebih rendah berbanding normal.


"Keadaan ini membawa kepada pengukuhan angin timuran yang bertiup ke rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia dan pengukuhan berkenaan membawa peningkatan kelembapan ke rantau ini, sekali gus meningkatkan kebarangkalian berlakunya fenomena ribut petir dan hujan lebat semasa musim peralihan monsun," katanya.


Hujan lebat secara berterusan petang 7 Mac 2022/Isnin, menyebabkan enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dilanda banjir kilat, menyebabkan hampir 2,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).


Berlaku Fenomena La Nina Sederhana Melanda Malaysia


Mengulas lanjut, Prof Fredolin berkata, kajian beliau menunjukkan fenomena hujan lebat melebihi 50mm per jam meningkat terutama di kawasan pantai barat Semenanjung apabila La Nina berkategori sederhana berlaku.


Selain itu, katanya faktor perubahan iklim juga boleh menyumbang dan menjadikan keragaman cuaca meningkat.


"Pemanasan global boleh memperkukuhkan kesan fenomena La Nina di negara kita dengan peningkatan jumlah kelembapan di udara akibat peningkatan suhu dunia.


"Kita boleh lihat ia menyebabkan kerapnya berlaku ribut petir yang disebabkan peningkatan jumlah kelembapan global dan tidak nafikan, situasi ini berlaku disebabkan perubahan iklim dunia," katanya.


Beliau berkata, kajian di Kuala Lumpur sudah menunjukkan bahawa kekerapan dan intensiti hujan ekstrim meningkat 30 peratus sejak 30 tahun lalu dan ini berkemungkinan besar disebabkan pemanasan global yang bukan sahaja meningkatkan haba, tetapi juga kelembapan diperlukan untuk pembentukan perolakan dan ribut petir.


Taburan Hujan Tinggi Punca Banjir Kilat Badai Lembah Klang


Beberapa lokasi di Kuala Lumpur menerima taburan hujan hampir lima kali ganda daripada jumlah biasa sekali gus menyebabkan banjir kilat, pada 7 Mac 2022.


Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata berdasarkan data hujan kumulatif bagi tempoh 15 minit oleh JPS, Taman Desa (SMART) menerima taburan hujan sehingga 155.5 milimeter berbanding 33.5 milimeter.


Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh berkata Jalan Tun Razak (Sungai Bunus) pula menerima taburan hujan sehingga 132.5 milimeter berbanding 36 milimeter, Jambatan Petaling 128 milimeter (32.5 milimeter), Lebuh Pasar 120.5 milimeter (33.5 milimeter).


"Air Panas 111.5 milimeter (34.6 milimeter), JPS Wilayah 101.5 milimeter (28.5), Sentul 93.5 milimeter (24.5 milimeter), Kampung Berembung (SMART) 83.5 milimeter (28.5 milimeter) dan Lembah Keramat 70 milimeter (25 milimeter).


"Data berkenaan turut menunjukkan taburan hujan mula meningkat antara jam 3 petang sehingga kira-kira jam 4.45 petang," katanya kepada lapor BH Online pada 8 Mac 2022/Selasa.


Beliau berkata, taburan hujan setahun adalah antara 2,500 milimeter ke 3,000 milimeter dengan anggaran purata setiap bulan antara 200 milimeter sehingga 250 milimeter manakala jika hujan biasa dalam tempoh sejam hanya sekitar 60 milimeter.


Pada 7 Mac 2022/Isnin dilaporkan, beberapa laluan utama di Lembah Klang dinaiki air susulan hujan lebat kira-kira satu jam bermula jam 3 petang.


Kejadian itu turut menyebabkan puluhan kereta terperangkap di jalan raya dan ada antaranya tenggelam apabila kawasan parker dinaiki air.


Lokasi terbabit termasuk Jalan Chan Sow Lin, Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Kuching dan Jalan Raja Laut.


Pada 7 Mac 2022, dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sultan Sulaiman dan Sekolah Kebangsaan Tamil (SKT) Saraswati turut dibuka bagi menempatkan 251 mangsa banjir.


Seramai 101 mangsa dari Kampung Periuk, Kampung Baru, ditempatkan di PPS Dewan Sultan Ismail manakala seramai 150 mangsa dari Kampung Hujung Pasir ditempatkan di SKT Saraswati.

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...